JOHOR BAHRU: Seorang isteri dan rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas dakwaan membunuh suaminya di Jalan Nipah, Taman Daya pada 14 Julai lalu.
Tertuduh, Margaret Law, 36, dan Fam Mee Fatt, 53, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah membunuh Lee Ming How, 44, di Blok 11, Jalan Nipah, Taman Daya pada pukul 2 petang, 14 Julai lalu.
Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat ke atas mangsa.
Dalam prosiding sama, Margaret dan Mee Fatt mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh masing-masing.
Margaret didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan hasil ujian saringan air kencing yang dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada pukul 1.30 petang, 15 Julai lalu.
Mee Fatt yang merupakan seorang buruh pula didakwa memasukkan methamphetamine ke dalam badannya di tempat sama pukul 12.01 tengah malam, pada 16 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Nurmadiana menjatuhkan hukuman denda, masing-masing RM1,700 ke atas Margaret dan Mee Fatt serta penjara enam bulan jika gagal.membayar denda berkenaan dan memerintahkan mereka menjalani pengawasan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad dan Nur Aqiilah Ahmad Rafaei, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN