PUTRAJAYA: Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersiap sedia menghadapi bencana banjir kilat di ibu negara menerusi kekuatan anggota dan aset sedia ada dimiliki pasukan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, buat masa ini, polis ibu negara memiliki bot mencukupi selain terdapat sebanyak 10 buah bot disumbangkan wakil rakyat.
Menurut beliau, ketika ini pihaknya sedang melatih anggota dan pegawai untuk mengendalikan bot dan misi menyelamat di air.
“Hari ini, seramai 55 anggota berpangkat rendah dan tujuh pegawai kanan diberi pendedahan untuk misi menyelamat di air dan pengendalian bot penyelamat.
“Latihan julung kali ini bertujuan menguji aset sedia ada bagi membantu mangsa banjir kilat di ibu kota dan di negeri-negeri jiran,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutup pengendalian bot di Pangkalan Polis Marin Putrajaya, hari ini.
Katanya, biarpun aset disumbangkan wakil rakyat itu berkapasiti kecil, namun ia boleh memberi nilai tambah kepada usaha dan misi menyelamat mangsa.
Azmi berkata, beliau berharap latihan tersebut dapat melengkapkan anggotanya dengan kemahiran menyelamat yang diperlukan ketika bencana. – UTUSAN