Ini kampung seni, bukan industri… - Rosyam Nor - Utusan Malaysia

Ini kampung seni, bukan industri… – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBISA, tetapi setiap apa yang dilontar itu kena tepat. Hampir empat dekad, dia sudah puas menanggung rasa kecewa sendiri. Melihat dunia rezeki yang selama ini tidak pernah ada ubahnya.

Datuk Rosyam Nor, satu nama yang punya legasi sendiri. Tak usah kita gembar gembur tentang portfolionya, dia sudah membuktikan segalanya. Cuma kini, buah fikirannya harus dicanang, semuanya demi industri seni.

“Industri? Tidak Alif, kita cuma ada kampung seni. Sesebuah industri itu mampu menjana ekonomi negara, manakala kita? Lambat lagi kita nak panggil industri. Kita tak nampak seni itu sebagai sebuah industri.

“Kita tak mampu nak ketengahkan dunia kreatif dan seni ke peringkat yang lebih membanggakan. Apa kita buat? Kita banggakan kerja luar, tetapi anak seni kita sendiri ‘dibiarkan’,” katanya membuka bicara.

Jadi saya layangkan pertanyaan, di bahu siapa harus kita sandarkan harapan? Berpegang dengan impian supaya perkampungan ini mampu digelar industri satu hari nanti? Lambat atau cepat, siapa punya kerja?

“Jangan tanya aku, kita semua tahu penggeraknya siapa. Kau melalak macam mana kuat pun, mungkin tiada siapa ambil kisah. Sebab itu bila ada yang komplen drama atau filem kita macam sampah, saya tak marah.

“Kreativiti itu mahal dan kita tak mampu untuk bayar. Perkampungan seni kita ini ‘industri’ main-main. Kau ikut suka hati kau. Stesen TV, penerbit ikut suka hati nak buat apa,” kata pemegang dua trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ini.

Ironinya, dia sebagai penerbit dan pelakon juga seperti sudah lelah dengan permainan dunia seni. Lelah untuk memperjuangkan betapa mahalnya kreativiti. Tetapi sayang, itu semua terlalu berat untuk dia pikul sendiri.

“Industri seni perlukan satu blue print. Perlu ada research and development. Untuk kita lahirkan sebuah dunia yang dicipta manusia, itu memerlukan modal yang besar. Kita tidak ada modal untuk itu.

“Bayaran tidak setimpal kerja. Usah pergi sampai Hollywood, satu drama di Filipina menelan belanja RM500,000 manakala kita? Satu drama, RM50,000. Drama kita sampah? Jangan melatah.

“Semua ini tidak akan berubah jika tiada pertolongan pihak kerajaan. Kita boleh duduk sama, kerah idea dan keringat tetapi itu semua sia-sia dan akan kekal sama jika tiada ‘tangan’ yang menghulur bantuan,” ujarnya.

WAJAH KITA? TIADA!
Perbualan kami masih berkisar tentang industri. Saya mengorek dalam isi fikirnya. Cuba untuk ambil tahu, mengapa naskhah kita seperti sukar benar menembusi pasaran luar? Apa kurangnya seni kita?

“Industri kita tidak ada wajah Malaysia. Kita terikut-ikut dengan trend sedia ada. Kita tidak tonjolkan budaya dan jati diri anak Malaysia. Kita cuma boleh berbangga dengan Upin & Ipin. Itu sahaja yang ada wajah Malaysia.

“Saya sendiri, bila diminta berlakon kena celup-celup. Kadang celup Hollywood, kadang celup Cina, Tamil lah. Industri seni dan hiburan ini boleh jual segala-galanya. Industri seni luar ‘jual’ budaya, politik mereka. Kita?

“Tapi kalau pihak kerajaan sendiri tak nampak, kita nak ikut siapa. Kita ada pasaran, tengok Mat Kilau boleh kutip hampir RM100juta. Tapi kita boleh harap satu dua filem sahaja,” kongsi pelakon yang sudah membintangi lebih 50 filem sepanjang kariernya.

Lantas adakah itu menjadi punca ada pelakon kita yang bakatnya cukup besar tetapi tidak diperah sebaiknya. Atas alasan apa karya dan bakat yang ada cuma mampu dicanang setakat satu kampung gemanya?

“Kelakarnya, kita mana boleh kaya dengan hanya berlakon. Kalau pelakon luar, bayaran satu filem sahaja sudah cukup untuk tampung hidup setahun. Kita? Kena ceburi bidang lain untuk jaminan hidup.

“Kita juga sudah tidak ada fenomena hero heroin. Dulu ada Awie-Erra, Ogy – Eman Manan, sekarang?” katanya.

LAKONAN, NIAGA

Saya alihkan topik. Berborak soal industri seni tidak akan ada surutnya. Cuma, jangan sekadar untuk dibaca. Biarlah buah fikir abang Rosyam ini didengari dan diambil untuk langkah seterusnya.

Soalan tentang dirinya terus dilayangkan. Dengan kredibiliti, nama dan kejayaan yang dimiliki, adakah dia sudah boleh berpuas hati dengan dunia seninya? Adakah dia akan meletak titik noktah?

“Puas? Saya tidak pernah puas bila bercakap soal lakonan. Itu tetap nombor satu. Cuma saya ada strategi sendiri. Mencari naskhah yang boleh kekal jaga jenama saya. Saya mahu setiap penampilan bawa impak.

“Walaupun tampil sekali sekala, biarlah ada ‘isi’nya. Produk sedikit tetapi impak besar. Itu saya mahu,” kata lelaki di tangga usia 55 tahun ini.

Jadi selain dunia seni, tidakkah perniagaan Rosyam Mart dan produksi, Suhan Movies di bawahnya menuntut kudrat serta masa yang tinggi? Bagaimana dia mampu mengurus segala?

“Kena pandai susun masalah. Sebab itu saya jarang ambil drama bersiri. Komitmen tinggi, tak ada masa. Tetapi kalau program jemputan, filem itu tiada masalah,” katanya.

Ditanya mengapa wajahnya ada bersama Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Adzliana Hasandi papan iklan sekitar Kuala Lumpur, Rosyam menghurai cerita.

“Itu kerjasama dengan Usanita. Kami mengetengahkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk bantu mereka mempromosikan produk jualan. Kami menyediakan program penjenamaan dan pendigitalan.

“Ini masa sesuai untuk saya pulangkan kembali sokongan mereka dahulu. Tanpa mereka, saya bukan Rosyam Nor yang sekarang.

“Rosyam Mart pula bakal membuka cawangan keenam bulan depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya