KLANG: Petua menahan nafas sebentar semasa menyembelih haiwan korban terutama lembu mampu memastikan daging sembelihan tidak berbau.
Menurut Imam Surau Nurul Iman Kampung Perepat di sini, Mior Azizan Abdul Talib, 52, selain petua tersebut, haiwan ternakan lebih afdal disembelih semasa ia menarik nafas semasa proses menyembelih dimulakan.
“Proses menyembelih menjadi lebih lancar jika pisau yang digunakan benar-benar tajam. Jika semua petua dan kaedah penyembelihan dipatuhi insya-Allah daging sembelihan tidak berbau,” katanya ketika ditemui di Kampung Perepat hari ini.
Mior Azizan yang berasal dari Kampung Paloh, Bota, Perak berkata, bagi mengelakkan daging korban berbau juga, selepas menyembelih haiwan korban tersebut, darah yang masih bersisa di mata pisau hendaklah disapu di muka dan badan lembu korban terbabit.
Katanya yang juga menjadi Imam Pengganti Masjid Kampung Perepat, setakat ini beliau telah menyembelih hampir 100 ekor lembu korban sejak lima tahun lalu termasuk semasa fasa pandemik Covid-19 tahun lalu.
“Apa yang penting setiap rukun menyembelih seperti niat dan menyembelih mengikut garis panduan ditetapkan agama Islam perlulah dipatuhi,”katanya.
Mengulas mengenai pisau yang digunakan, beliau berkata, pisau paling mahal yang mampu menyembelih tujuh ekor lembu korban secara terus-menerus tanpa perlu diasah telah dibeli dengan harga RM580.
Jelasnya lagi, sebagai penyembelih yang berpengalaman, beliau mempunyai beberapa bilah koleksi pisau untuk menyembelih dan melapah.
“Pisau ini dianggap sebagai barang kesayangan dan akan diasah beberapa bulan sekali bagi memastikan kualiti penyembelihan dapat dikekalkan,” katanya. –UTUSAN