JOHOR BAHRU: Identiti pemandu BMW yang rentung dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya kelmarin dikenal pasti sebagai Mohd. Farid Hamzah, seorang pekerja bengkel kenderaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, identiti lelaki berusia 34 tahun itu disahkan menerusi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) antara mangsa dan abangnya berusia 45 tahun yang diperoleh polis petang tadi.
Menurutnya, keputusan DNA yang dikeluarkan Jabatan Kimia Negeri Johor menunjukkan keputusan 99.9 peratus padanan antara kedua-duanya.
“Kita terima laporan berhubung sampel perbandingan DNA antara mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu dengan abangnya pada pukul 2 petang tadi. Dalam laporan itu, keputusan DNA yang dipadankan adalah 99.9998 peratus sepadan antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, di sini hari ini
Terdahulu Raub memberitahu, kemalangan berkenaan berpunca apabila kereta BMW berkenaan terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh sebuah van sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan empat buah kenderaan.
Kejadian pada pukul 6.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta mewah tersebut rentung, manakala kereta itu pula terbakar sepenuhnya. Walau bagaimanapun, pemandu van, Perodua Myvi dan Honda City terselamat dalam kemalangan ngeri itu. – UTUSAN