PASIR PUTEH: Seorang wanita lingkungan 30-an maut manakala anak lelakinya putus kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, di sini pagi ini.
Kemalangan pukul 9.05 itu turut mengakibatkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan ringan.
Kejadian itu melibatkan treler membawa muatan besi, lori pasir, pacuan empat roda, dua buah motosikal, dua buah kereta, satu kenderaan pelbagai guna (MPV) dan 21 buah basikal.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, laporan lanjut akan dimaklumkan kemudian selepas kerja menyelamat selesai dijalankan.
Katanya, fakta sebenar akan diperoleh selepas soal siasat terhadap pemandu dan saksi serta bedah siasat di lokasi kejadian selesai dijalankan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati bilah besi bergelimpangan di atas jalan raya dan sebahagiannya menghempap kereta dan penunggang motosikal.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Tok Bali serta anggota polis masih bertungkus-lumus menjalankan kerja menyelamat dan mengawal kesesakan lalu lintas. – UTUSAN