KUANTAN: Seorang wanita yang juga ibu kepada tujuh anak didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini, atas 25 pertuduhan menipu tawaran pakej pembelian emas 916 yang membabitkan empat mangsa wanita sejak September tahun lepas hingga Januari lalu.
Tertuduh, Wan Noraini Wan Abdullah, 43, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd. Suah dan Ainis Abu Hassan Shaari. Wan Noraini mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan terhadapnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya empat wanita melalui 20 tawaran pembelian emas 916 (Pakej E) yang menawarkan pulangan 80 gram nilai emas sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM11,500 hingga RM12,100 bagi setiap pakej.
Tertuduh didakwa hanya menyerahkan antara 19.17 hingga 40.36 gram nilai emas kepada mangsa iaitu kurang dari nilai yang dijanjikan.
Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa menipu membabitkan lima pakej pembelian emas 916 ( Pakej A) yang menawarkan pulangan lapan gram nilai emas namun nilai yang diberikan kepada mangsa juga kurang dari nilai dijanjikan.
Ibu tujuh anak itu, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Gold Ventures Sungai Isap Maju 1, Jalan Gambang antara September 2021 hingga Januari tahun ini.
Bagi semua tuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Kes tersebut kendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid dan Aini Adilah Muhammad Faizal.
Sementara itu, mahkamah menetapkan jaminan RM72,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin bercagar bagi kesemua pertuduhan. Sebutan semula kes, penyerahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan pada 21 Julai dan 8 Ogos ini. – UTUSAN