KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengetepikan hukuman penjara 14 bulan terhadap seorang suri rumah yang dituduh mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di sini pada 25 Mei lalu.
Hukuman 14 bulan itu dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Marang dekat sini pada 5 Julai lalu selepas tertuduh, Suhaini Mohd., 43, membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Peguamnya, Datuk Naran Singh berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan tersebut selepas beliau mengemukakan permohonan penangguhan hukuman tersebut terhadap suri rumah tersebut.
Menurutnya, hukuman penjara 14 bulan terbabit sepatutnya diketepikan kerana prosiding kes mencuri Milo tersebut sebelum ini mempunyai kecacatan.
“Pertama, rekod kesalahan lampau dikemukakan adalah tidak sah dari segi undang-undang dan bahan bukti keterangan pihak pendakwaan tidak sepatutnya dikemukakan,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini, semalam..
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang, Suhaili membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Tertuduh didakwa mencuri dua paket Milo di sebuah pasar raya di daerah ini pada pukul 11.20 pagi pada 25 Mei lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding itu, Naran juga memohon penangguhan dua kes berkaitan dadah membitkan tertuduh sebelum ini. Kes pertama tertuduh dijatuhkan hukuman 10 bulan dan kedua pula lapan bulan serta hukuman tersebut berjalan serentak dengan kes mencuri Milo selama 14 bulan.
Majistret Engku Nurul Ain membenarkan Suhaini yang juga ibu kepada empat anak dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 6 September depan.
Utusan Malaysia pada 6 Julai lalu melaporkan seorang suri rumah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di sini pada 25 Mei lalu.
Kes tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai termasuk usahawan hartanah, Muhammad Azlan Al-Amin yang mengemukakan permohonan rayuan penangguhan rayuan menerusi Naran pada 8 Julai lalu. –UTUSAN