Hospital keempat Melaka di Durian Tunggal

Hospital keempat Melaka di Durian Tunggal

MUHAMAD AKMAL Saleh ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawab lisan hari pertama Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mencadangkan pembinaan hospital besar baharu Melaka di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya telah mengenal pasti kawasan seluas 24.28 hektar yang dilihat berpotensi dijadikan tapak hospital berkenaan.

Jelasnya, sekiranya cadangan itu diluluskan, Hospital Melaka sedia ada ditukar status menjadi hospital daerah.

“Melaka Tengah masih tidak memiliki hospital daerah seperti di Alor Gajah dan Jasin. Jika hospital baharu dibina di Durian Tunggal, maka hospital sedia ada dijadikan Hospital Daerah Melaka Tengah.

“Kos pembinaan belum ada buat masa ini dan kita jangkakan hospital ini akan menempatkan sehingga 600 katil. Sudah tentu ia melibatkan jumlah yang besar dan perlukan perincian lebih teliti daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Kementerian Kewangan.

“Kita jangka kelulusan ini diperoleh pada 2030 dan mengambil masa lima atau enam tahun untuk siap,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai kesesakan parkir di Hospital Melaka, Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri mencadangkan pusat sehenti diwujudkan di Bukit Serindit dan Taman 1 Lagenda.

Katanya, Hospital Melaka dan JKN akan bekerjasama dengan Panorama Melaka serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi mencari kaedah terbaik untuk melaksanakan rancangan tersebut.

“Bukit Serindit mempunyai kapasiti 500 parkir sementara Taman 1 Lagenda memiliki 1,600 parkir. Pelawat boleh meletakkan kereta mereka di kawasan ini dan bas khas akan bawa mereka ke hospital dengan cadangan kekerapan perjalanan lima minit.

“Selain mengurangkan kesesakan kenderaan, langkah ini juga menjadi pemangkin kepada ekonomi sekitar kawasan sehenti kerana membantu perniagaan di sana menjana pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya