Hina agama: Duda direman empat hari 

Hina agama: Duda direman empat hari 

SUSPEK (dua dari kiri) yang dikenakan perintah tahanan reman empat hari bagi membantu siasatan kes menghina agama Islam dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang duda direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki menghina agama Islam melalui sebuah audio yang tular dalam aplikasi WhatsApp, Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya menerima satu laporan Selasa lalu sebelum membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 59 tahun pada pukul 1 pagi di sebuah rumah di Kampung Laut, Chendering, di sini.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut memiliki enam rekod jenayah lampau sejak 2013.

“Terdapat kejadian tular sebuah audio yang dipercayai dilakukan pada 2021 yang mana lelaki terbabit memaki-hamun individu tertentu termasuk agama Islam.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah termasuk kes dadah, mencederakan orang dan mengugut ahli keluarga serta pernah didakwa di mahkamah tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang merupakan seorang penganggur disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sebelum ini, dua lelaki masing-masing di Puchong, Selangor dan Kuala Krai, Kelantan ditahan setelah video mereka menghina agama Islam dan Nabi Muhammad tersebar dalam media sosial. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya