PETALING JAYA: Aktiviti pembalakan secara tebang habis di dalam kawasan hutan simpan kekal yang meliputi lebih 85 peratus daripada jumlah hutan di Semenanjung Malaysia harus dihentikan.
Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, aktiviti pembalakan secara tebang habis akan melenyapkan hutan semula jadi yang asal serta memusnahkan ekosistem secara keseluruhan.
Selain itu, katanya, aktiviti berkenan mampu mengundang kepada kepupusan spesies akibat kehilangan habitat dan permasalahan yang lebih besar kepada manusia, umpamanya bencana alam dan kehilangan sumber kehidupan komuniti.
“Mengikut Dasar Perhutanan Negara dan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Seksyen 19), aktiviti pembalakan secara tebang habis di dalam kawasan hutan simpan kekal bagi tujuan pelbagai pengeluaran hasil seperti kayu balak dan mineral masih dibenarkan.
“Kami bersetuju pembalakan secara lestari mengikut garis panduan yang diluluskan di kawasan yang kurang sensitif dijalankan tetapi harus dikawal dengan baik kerana keperluan ekonomi dari sumber pembalakan tidak dapat dielak,” katanya.
Hafizudin berkata, Kuasa berharap kerajaan dapat mengezonkan keseluruhan kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap satu dan dua di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN).
“Jadi tiada sebarang aktiviti pembangunan boleh diluluskan melainkan aktiviti ekopelancongan terkawal, konservasi, penyelidikan dan pembalakan secara lestari,” katanya. – UTUSAN