Hanya 33 peratus tanah lapang awam diwarta - PM

Hanya 33 peratus tanah lapang awam diwarta – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua kerajaan negeri diminta mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam (TLA) di seluruh negara memandangkan hanya 33 peratus atau 7,662.6 hektar daripada keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan diwartakan pada masa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pewartaan TLA itu memastikan ia kekal terpelihara dan berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni. 

Menurut beliau, kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar daripada jumlah keseluruhan tanah lapang awam berjumlah 23,433 hektar.  

Bagaimanapun, kata beliau, sebanyak 24 peratus (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan,  manakala selebihnya belum diwartakan.  

“Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal  Negara (MPFN) Ke-40  mengambil maklum mengenai Pelaporan Status TLA di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 yang disediakan Kementerian Perumahan dan  Kerajaan Tempatan melalui PLANMalaysia. 

“Sehubungan itu, semua kerajaan negeri melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawahnya diseru mengambil langkah lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN),” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) diwujudkan sebagai panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia. 

PIRECFS ini merupakan satu inisiatif menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan. 

Kata Perdana Menteri, ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia  agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’.

Jelas beliau, Pelan induk ini juga mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan. 

“Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan  memastikan laluan semula jadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan. 

“Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan sepertimana yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Riode Janeiro pada 1992 akan dapat direalisasikan,” katanya. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perkara ini boleh dicapai melalui komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya