SHAH ALAM: Penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi graduan akaun kelapan terbaik dunia dan ketiga di Malaysia, baru-baru ini.
Kejayaan wanita berusia 22 tahun itu diperoleh hasil keputusan cemerlang dalam peperiksaan antarabangsa The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom (UK), bulan lalu.
Hannah Mumtazah berkata, dia bersyukur menerima pengiktirafan itu selepas bersaing dengan 3,877 graduan di seluruh dunia dan 500 graduan di negara ini.
Kata anak sulung daripada dua beradik itu, kejayaan berkenaan tidak dapat dikecapi tanpa sokongan ibu bapa dan rakan selain komitme tinggi pensyarah fakulti.
“Saya sentiasa kekal konsisten supaya tidak ketinggalan dan merujuk kepada pensyarah untuk menerima maklum balas dalam hal peperiksaan atau latihan kelas.
“Perkara itu harus diutamakan kerana ia ruang untuk penambahbaikan dan pemahaman saya bagi sesuatu subjek yang dipelajari,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hannah Mumtazah berharap mendapat pekerjaan yang boleh merealisasikan cita-citanya menjadi akauntan bertauliah.
Dia adalah pelajar lepasan Kolej Matrikulasi Selangor melalui program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) sebelum melanjutkan pengajian program profesional ACCA di UiTM.
JPPro merupakan program yang ditubuhkan hasil kerjasama antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.
Program itu antara satu laluan bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat perakaunan profesional, ACCA (UK) di UiTM. – UTUSAN