Guna saluran betul, bukan melalui perhimpunan jalanan - MPPA

Guna saluran betul, bukan melalui perhimpunan jalanan – MPPA

SUASANA sekitar himpunan #Turun yang membantah kenaikan harga barang di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Presiden Persatuan Akademik (MPPA) menyeru mahasiswa dan kakitangan akademik supaya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu, bukannya melalui perhimpunan jalanan.

Ini selepas sebahagian mahasiswa turut terlibat dalam satu perhimpunan di ibu negara yang dikenali sebagai Himpunan Turun, baru-baru ini.

Katanya, sentimen yang cuba dibawa oleh peserta perhimpunan berhubung kenaikan harga barang dan inflasi yang sedang melanda negara adalah sesuatu yang amat difahami, namun mereka percaya mahasiswa mempunyai lebih banyak saluran untuk menyuarakan pandangan khususnya menerusi saluran akademik di institusi masing-masing.

“Isu yang cuba dibawakan bukan sahaja dirasai di Malaysia malah kesan inflasi turut dirasai di banyak lagi negara di dunia dan bagi Malaysia, kerajaan sudah pasti sedang berusaha untuk mengatasi isu ini.

“Antara usaha yang sedang dijalankan ialah menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai beberapa menteri Kabinet manakala di peringkat institusi pengajian tinggi pula, Kementerian Pengajian Tinggi sedang mencari solusi terbaik bagi membantu mahasiswa yang terkesan dengan kenaikan harga barang terutama barangan bermasak,” katanya dalam kenyataan.

MPPA berharap mahasiswa dapat menggunakan saluran yang terbaik dalam memberikan pandangan dan cadangan terutama menerusi Majlis Perwakilan Pelajar seterusnya dibawa untuk perhatian dan tindakan pihak universiti sebelum dibawa pula ke peringkat lebih tinggi.

“Kami berharap mahasiswa tidak sewenang-wenangnya terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa dan sekiranya diambil tindakan, maka mahasiswa tersebut harus bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, MPPA menyeru kakitangan akademik khususnya ahli-ahli kesatuan dan persatuan akademik agar terus mematuhi undang-undang dan sekiranya terdapat pandangan yang ingin disuarakan bolehlah menyalurkan menerusi kesatuan dan persatuan masing-masing.

“Kami di MPPA sekali lagi berharap agar mahasiswa serta kakitangan akademik tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang boleh menggugat keharmonian dan keamanan negara ini.

“Malaysia menjamin kebebasan bersuara namun gunakanlah saluran yang betul serta kaedah yang bijak dalam menyuarakan sesuatu pandangan kerana itu juga cerminan terhadap kita semua yang dianggap sebagai golongan terpelajar,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya