Generasi Penamat dan cabaran penyeludupan rokok - Utusan Malaysia

Generasi Penamat dan cabaran penyeludupan rokok

vape
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai kempen bagi membantu mengatasi tabiat merokok telah dilaksanakan Kementerian Kesihatan sejak dahulu, namun dilihat tidak efektif dan gagal mencapai sasaran.

Buktinya dapat dilihat berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 yang menunjukkan bilangan perokok di Malaysia terus meningkat kepada 4.8 juta orang pada 2021 berbanding 4.7 juta pada 2011.

Malah, kekerapan merokok di negara ini berada pada tahap yang tinggi iaitu sebanyak 21.3 peratus.

Justeru, bagi menangani tabiat itu, Kabinet baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) kawalan tembakau dan merokok yang melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk berkaitan rokok termasuk jenis elektronik bagi generasi muda yang lahir selepas 2007.

Polisi dikenali sebagai Generational End Game (Generasi Penamat) itu telah dibentang di Parlimen.

Namun, langkah drastik yang diambil itu mencetuskan seribu satu persoalan sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak mengenai keberkesanannya dan kebolehlaksanaan terutama dalam beberapa situasi terkini negara ini.

Lebih membimbangkan, Datametrics Reserach and Information Sdn. Bhd. (DARE) dalam laporan bertajuk ‘Malaysia tanpa asap rokok’ mendedahkan, 83 peratus rakyat di negara ini berpendapat aktiviti perdagangan rokok seludup akan meningkat mendadak susulan larangan penjualan kepada individu yang lahir selepas 2007.

Sehubungan itu, satu perbincangan meja bulat eksklusif bertemakan ‘Malaysia Bebas Asap Rokok’ dibawakan Utusan Malaysia bersama empat ahli panel.

Empat ahli panel itu terdiri daripada Presiden Pusat Lanjutan untuk Advokasi Rawatan Ketagihan (ACATA), Dr. Arifin Fii; Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar; Kolumnis Undang-Undang, R. Paneir Selvam dan wakil Pusat Pilihan Pengguna (CCC), Tarmizi Anuwar.

Mereka berpandangan, strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) perlu digunakan dalam mempromosikan produk alternatif yang kurang memberi kemudaratan dan memberi peluang kepada perokok untuk hidup lebih sihat.

Kata mereka, keadaan sosio ekonomi dan landskap negara juga menimbulkan perdebatan sama ada Malaysia bersedia ke arah generasi penamat yang berkemungkinan boleh memakan diri sekiranya dasar itu tetap dilaksanakan.

Berikut adalah intipati perbincangan yang dijalankan.

UTUSAN: Menurut laporan Datametrics Reseach and Information Center (DARE), Generasi Penamat yang diperkenalkan akan menyaksikan peningkatan perdagangan haram daripada 58.4 peratus kepada 61.7 peratus. Boleh jelaskan?
PANKAJ: Dari tinjauan kesihatan 2019, data itu agak jelas. Kalau kita lihat dari segi umur daripada 15-19 tahun, itu merupakan 15.6 peratus daripada populasi negara adalah perokok. Jika dasar Generasi Penamat diluluskan dan digubal sebagai undang-undang, kesemua mereka itu akan pindah ke pasaran gelap dan itu boleh menyebabkan peningkatan aktiviti perdagangan haram.

Laporan DARE juga jelas menunjukkan Generasi Penamat tidak akan berkesan, sebaliknya memberi manfaat kepada aktiviti penyeludupan kerana ia mendorong perokok tegar atau baharu ke pasaran gelap untuk mendapatkan bekalan produk tembakau. Mereka ada alternatif lain.

Kita pun sedia maklum, New Zealand telah bentangkan RUU Generasi Penamat Selasa lalu dan Malaysia sememangnya berhasrat untuk mengikut langkah itu, tetapi kena ingat yang data untuk industri tembakau di negara ini sangat berbeza kerana aktiviti perdagangan haram yang tinggi berbanding di New Zealand.

Tetapi pelaksanaan Generasi Penamat tembakau adalah untuk menghentikan tabiat merokok yang bahaya kepada kesihatan?
PANIER: Apabila kita buat satu larangan, dari segi psikologi ia menggalakkan orang ramai melakukan perkara yang dilarang itu. Jadi ini satu strategi salah dan langkah yang tak sepatutnya berlaku pada masa ini. Masanya tak sesuai.

Langkah ini terlalu terburu-buru sebab ada masalah lain yang lebih berat seperti ekonomi, inflasi, kenaikan harga barang dan pengangguran berbanding isu ini yang boleh dikatakan remeh.

Apabila cadangan itu dibuat, saya pun tak pasti sama ada kementerian atau menteri berkenaan membuat satu kajian yang mendalam dari pelbagai sudut seperti ekonomi, psikologi dan kesan sosial berbanding dari aspek kesihatan semata-mata.

DR. ARIFIN: Sekiranya akta itu mengenakan larangan menyeluruh atau blanket ban kepada semua jenis tembakau atau apa-apa produk berkaitan tembakau, saya tak yakin Generasi Penamat itu akan berjaya dengan mengambil kira landskap negara ini. Apabila kita teliti kajian, wabak rokok melanda negara berpendapatan sederhana-rendah (LMIC) dan perlu juga diingat status sosio ekonomi adalah faktor penting yang menjadi penentu mendorong individu mengenai tabiat rokok.

DR. ARIFIN FII

Jadi, Malaysia tak boleh dibandingkan dengan New Zealand yang berpendapatan tinggi dan kadar perokoknya rendah berikutan faktor sosio ekonomi. Sekiranya blanket ban dilaksanakan juga, mereka yang berstatus rendah cenderung untuk memilih tawaran daripada pasaran haram kerana harganya juga murah.

Pelaksanaan blanket ban itu seolah-olah menjadi serampang dua mata kerana ia meningkatkan rokok seludup dan jumlah perokok kerana mampu membeli rokok. Jika blanket ban dilaksanakan juga, ia bukan sahaja larangan kepada produk rokok tetapi juga produk seperti vape. Padahal produk vape merupakan satu kaedah berguna sebab mudaratnya kurang.

Tarmizi: Secara jujur saya kurang yakin dengan polisi yang cuba dilakukan kerajaan. Kalau dilihat polisi seperti mengenakan cukai yang tinggi kepada tembakau, akhirnya menyuburkan pasaran gelap dan membuka ruang yang lebih besar kepada pengguna untuk mendapatkan harga yang lebih murah. Lihat sahaja larangan dadah, ia tetap tidak menyelesaikan masalah bahkan banyak sindiket dadah yang dijalankan di pasaran gelap.

Sebagai alternatif lain, kerajaan sewajarnya melakukan satu dasar yang mesra pengguna atau yang lebih dikenali sebagai THR. Jadi di Malaysia, alternatif kebiasaan adalah produk vape kerana ia 95 peratus menyerupai rokok. Kita kena faham bahawa ketagihan itu adalah satu masalah rumit dan tidak boleh dengan mudahnya dikenakan larangan.

Kenapa Generasi Penamat tidak akan berkesan di Malaysia?
PANKAJ: Kadar perokok di Malaysia adalah 21.3 peratus, tetapi kadar perokok masing-masing di New Zealand dan Singapura adalah 10.1 serta 10.9 peratus. Ini separuh dari angka di Malaysia. Di Malaysia juga, kadar perdagangan haram hampir 60 peratus tetapi cuma kira-kira 10 peratus bagi New Zealand dan Singapura.

PANKAJ KUMAR

Kita kena lihat juga, New Zealand terutamanya sebelum memperkenalkan RUU itu, mereka menggunakan vape sebagai kaedah berhenti tabiat merokok. Jadi mereka ada alternatif lain. Namun, di Malaysia kemungkinan alternatif lain itu sekiranya larangan itu dikuatkuasakan adalah produk tembakau yang banyak di pasaran haram.

Adakah larangan ini telah mencabuli hak pengguna?
TARMIZI: Perkara penting untuk kita lihat adalah ketagihan itu merupakan satu isu yang rumit. Jadi paksaan untuk berhenti tanpa diberikan pilihan adalah satu masalah besar. Saya akui merokok menyebabkan risiko kepada kesihatan diri. Cuma sebagai pengguna, individu wajar tentukan apa yang terbaik untuk dirinya apabila meningkat usia 18 tahun dan bukannya tugas kerajaan.

Apakah yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengurangkan tabiat merokok?
PANKAJ: Cara terbaik adalah mengawal penyeludupan rokok. Itu adalah kunci yang bukan sahaja mengurangkan kadar perdagangan haram, tetapi dapat membantu kutipan cukai.

Kita perlu sedar, RUU yang ingin dilaksanakan itu bukan silver bullet, jadi kerajaan harus memandang serius bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu terutamanya menaikkan kadar pendapatan rakyat.

Rokok sah memang mahal. Tetapi kalau pendapatan tak naik, rakyat tak mampu beli rokok mahal. Jadi itu menyebabkan rokok seludup dapat permintaan tinggi. Bagaimanapun, sudah tentu larangan Generasi Penamat mungkin dilihat sebagai satu cara untuk berhentikan atau mengurangkan perokok di Malaysia. Tetapi ia tidak berkesan kerana budaya ekonominya adalah sederhana rendah.

TARMIZI: Dalam satu kajian yang dilaksanakan pusat pembangunan kesihatan antarabangsa baru-baru ini, kira-kira 49 peratus perokok memilih mengurangkan atau berhenti tabiat itu dengan memilih produk vape.

Jadi, apabila mereka cuba melarang sepenuhnya produk tembakau seperti rokok dan vape, ia satu tindakan mengecewakan pengguna yang serius untuk beralih kepada kesihatan yang lebih baik. Satu-satu dasar itu sepatutnya memberi pilihan kepada pengguna kerana pengguna tahu apa yang terbaik buat diri mereka.

PANIER: Kempen mendidik dalam menangani tabiat merokok perlu dilaksanakan dengan lebih efektif lagi walaupun mengambil tempoh masa yang lama. Dengan perkembangan teknologi, kerajaan boleh menggunakan sosial media sebagai kempen untuk mendidik generasi muda. Satu strategi yang lebih inovatif perlu diambil dalam menyedarkan generasi muda masa kini.

Kita boleh lihat apa yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat dalam menangani keburukan rasuah. Dulu menggunakan pendekatan rasuah itu haram, tetapi mereka sedar susah untuk memulihkan rasuah, jadi mereka berkempen dan mendidik terutamanya di sekolah tentang keburukan rasuah. Memang proses itu mengambil jangka masa panjang, tetapi ia berkesan apabila kita lihat generasi Z pada hari ini sangat peduli tentang rasuah.

Bagaimanakah strategi pengurangan kemudaratan boleh menyumbang ke arah mengurangkan kelaziman merokok?
Dr. Arifin: Kita kena faham bahawa ketagihan merokok adalah ketagihan kepada nikotin. Tetapi yang menyebabkan rokok itu memudaratkan adalah tembakau dan pembakaran tembakau apabila lebih 90 peratus kemudaratan disebabkan kedua-dua itu. Nikotin tidak berbahaya, tetapi pembakaran pada tembakau yang menyebabkan segala kemudaratan pada rokok.

Jadi, dalam konsep THR, kita gantikan dengan satu alat yang boleh memberi nikotin, namun tidak mengandungi tembakau atau pembakaran tembakau. Cara rawatan pengurangan itu seolah-olah terapi penggantian. Maka, yang popular pada hari ini adalah peranti elektronik seperti apa yang diperkenalkan di New Zealand dan United Kingdom. Banyak juga bukti saintifik dari institusi terkenal yang sudah iktiraf bahawa produk vape sangat kurang mudarat, jadi kena faham konsep sebenar itu.

Justeru, apabila blanket ban dilaksanakan sepenuhnya, ia akan menyebabkan orang berhenti merokok hilang peluang untuk mendapatkan alternatif lain yang kurang berbahaya. Maka, dasar Generasi Penamat itu perlu juga fikir hak dan kebajikan mereka yang merokok.

PANKAJ: Kita lihat sahaja New Zealand, negara itu menjalankan kempen besar-besaran dalam mengurangkan kelaziman merokok dengan membantu menghenti tabiat itu melalui strategi THR, iaitu menggunakan produk vape sebagai satu cara alternatif lain.

Jika kita mencontohi New Zealand dengan memperkenalkan kaedah pengurangan tembakau seperti vape, kita juga boleh mencapai kadar perokok yang lebih rendah dari apa yang dicatatkan hari ini.

Berdasarkan analisis DARE, adakah Malaysia akan melihat pengurangan kadar perokok dan kos berkaitan rokok dengan mengamalkan strategi pengurangan kemudaratan?
PANKAJ: THR boleh mengurangkan kadar perokok di Malaysia lebih kurang 200,000 hingga 220,00 orang setahun berdasarkan konsep digunakan di UK apabila memperkenalkan produk vape. Malah, jika diambil peratusan sama, impak pengurangan itu boleh menurun daripada 4.9 juta kepada 4 juta perokok dalam masa tiga hingga empat tahun.

Laporan sebelum ini juga ada menyatakan, perbelanjaan kesihatan membabitkan rokok pada 2025 akan meningkat sehingga RM7.5 bilion, tetapi kita boleh jimat sehingga RM1.3 bilion jika kita boleh mengurangkan kadar perokok.

Apakah kaedah mengurangkan kemudaratan seperti vape harus dikawal di Malaysia?
PANIER: Sememangnya produk itu harus dikawal dan bukannya terus diharamkan. Tetapi, kita perlu berhati-hati kerana kadang-kadang produk vape itu digunakan bahan yang tidak sesuai yang boleh memudaratkan kesihatan perokok atau penghisap vape.

Walaupun terpencil, namun kita masih mendapat laporan bahawa terdapat penyalahgunaan barang terlarang dalam vape. Kawalan yang sewajarnya dapat mengelak golongan tidak bertanggungjawab dari terus menghasilkan dan menjual produk terlarang.

Panggil pemegang taruh minta pandangan, teliti kelemahan dan buat kawalan yang lebih efektif lagi. Jadi isu-isu sebegini yang harus diteliti dan bukan laksana Generasi Penamat.

Apakah pandangan tentang saranan supaya peruncit meminta kad pengenalan untuk pengesahan umur sebelum menjual produk tembakau terutamanya di kedai runcit yang diuruskan pendatang asing, bolehkah ia dilaksanakan?

PANIER: Ia bukanlah satu tindakan yang produktif dan sukar untuk dilaksanakan. Hasrat utama pendatang adalah mahukan keuntungan, tetapi sama ada ia akan mendatangkan kemudaratan untuk masyarakat atau negara ini, mereka pasti tidak kisah, jadi apa jaminan kepatuhan mereka untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan generasi penamat.

R. PANEIR SELVAM

Kelemahan lain yang mungkin berlaku juga apabila individu dewasa boleh membeli produk tembakau untuk individu bawah umur. Kita dapat lihat walaupun kerajaan telah menetapkan rokok tidak boleh dijual pada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, namun ramai yang masih memilikinya malah bebas menghisap rokok termasuk ketika memakai uniform sekolah. Jika pemilikan rokok bagi remaja berusia bawah 18 tahun juga gagal dibendung, bagaimana mahu membendung mereka yang sudah dewasa membeli rokok?TARMIZI: Perkara ini sangat kurang signifikan, di samping pengguna terpaksa menunggu lebih lama, perkara lebih khuatir adalah berkenaan dengan maklumat peribadi kita apabila tiada mekanisme tentang arahan meminta kad pengenalan itu.Kita risau orang guna nombor kad pengenalan untuk lakukan jenayah dan penipuan, walaupun sekejap, tetapi pengusaha atau penjual tentu boleh ingat atau tulis.

Akhirnya mereka malas dengan isu-isu remeh berpindah untuk beli di pasaran gelap yang cuma mendatangkan masalah kepada pengguna kerana kandungan bahannya tidak dapat dipastikan sama ada mengikut piawaian produk tembakau yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Memandangkan saiz perdagangan tembakau haram yang melibatkan berbilion wang tidak sah dan sindiket terancang, apakah perkara yang perlu diteliti dari perspektif undang-undang untuk menangani isu tersebut?

PANIER: Negara kita adalah negara yang bersempadan, jadi orang luar boleh masuk melalui pelabagai cara dengan mudah. Jadi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan Akta Pembanterasan Jenayah 1959 (Poca) amat diperlukan dalam membendung aktiviti penyeludupan dan jenayah terancang. Jika penyeludupan tidak disekat, ia bukan sahaja boleh membahayakan keselamatan negara, tetapi mengancam kesihatan rakyat terutamanya terhadap kesangsian bahan yang diseludup.

Namun, usul lanjutan SOSMA yang diluluskan tidak boleh dijadikan alasan kerana pelaksanaan Generasi Penamat tersebut menyentuh privasi individu seseorang itu. Contohnya, cara saya menggunting rambut adalah mengikut cita rasa saya, jadi kerajaan tak boleh halang cara gunting itu dan kena tukar kepada cita rasa lain.

Serupa juga dengan larangan generasi tersebut kerana itu bukan hak kerajaan, tetapi hak individu sebab ia terpulang kepada seseorang itu sama ada mahu merokok atau sebaliknya apabila mereka dewasa.

Larangan ini akan menjadikan individu yang membeli rokok umpama penjenayah seperti membeli dadah, komen?
TARMIZI: Tidak wajar orang yang membeli rokok dianggap sebagai membeli dadah kerana ia dua perkara yang sangat berbeza terutamanya dari segi kemudaratan kedua-dua produk itu. Dalam menilai atau membuat undang-undang dan dasar, perlu lihat kesan kedua-dua perkara sama ada dua produk itu seimbang atau ketara untuk kemudaratan. Kalau tidak sama, maka adalah tidak wajar untuk membuat keputusan itu.

TARMIZI ANUWAR

Secara khususnya, kita perlu ada satu undang-undang yang mengawal selia berkenaan bahaya produk tembakau secara jelas, yang menjaga hak pengguna kerana kita perlu beri ruang kepada pengguna untuk berubah memilah gaya hidup yang kurang mudarat serta beralih ke kehidupan yang lebih sihat.

Tetapi kalau dianggap sama seperti penjenayah dadah, ia jelas dua gaya hidup yang berlainan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya