Gelombang baharu Covid-19, PM nasihat 7 juta rakyat ambil booster

Gelombang baharu Covid-19, PM nasihat tujuh juta rakyat ambil booster

Covid-19
ISMAIL SABRI Yaakob (tiga dari kanan)  bersama warga Bera dalam Majlis Korban Perdana Parlimen Bera yang diadakan di Masjid Darul Fikri di Bera, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kira-kira tujuh juta rakyat yang belum mengambil dos penggalak dinasihatkan berbuat demikian susulan pengesanan kehadiran subvarian Omicron BA.5 di Malaysia dan kes harian Covid-19 dijangka bertambah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun dos penggalak tidak diwajibkan tetapi ia disarankan terutama apabila negara ketika ini berdepan dengan gelombang baharu wabak tersebut.

“Jadi saya nasihat rakyat yang belum mengambil booster (dos penggalak) supaya segera berbuat demikian. Ia penting untuk kita melindungi diri dari jangkitan dan varian baharu. Apa lagi akan muncul selepas ini kita tidak tahu kerana kita berdepan gelombang baharu dari semasa ke semasa. 

“Jadi, langkah terbaik ambil booster untuk keselamatan diri dan keluarga,” katanya kepada pemberita pada program Korban Perdana Parlimen Bera 2022 di Masjid Darul Fikri, di sini hari ini. 

Setakat ini di Malaysia, Kementerian Kesihatan mengesahkan, sehingga 30 Jun lalu, sudah terdapat 13 kes sub-varian Omicron yang sedang dipantau rapi iaitu enam kes BA.2, lima kes BA.5 dan dua kes BA.52.

Setakat ini tiada kes BA.4 dilaporkan.

Pada 8 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kementerian itu mengga­lakkan warga emas, individu yang mempunyai komorbi­diti dan pekerja barisan hadapan  mendapatkan dos penggalak kedua sekurang-kurangnya empat bulan selepas menerima dos penggalak pertama.

Khairy berkata, sebanyak 31.4 peratus daripada golongan dewasa iaitu seramai 7,393,199 inidividu  belum dapat dos penggalak.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kehidupan rakyat ketika ini seperti biasa dan kerajaan tiada perancangan untuk menutup sektor ekonomi. 

“Cumanya, kita sebagai rakyat perlu ambil tindakan untuk melindungi diri. Jadi sekali saya nasihatkan siapa yang belum ambil booster supaya segera ambil. Jika ada simpton, segera jumpa doktor untuk rawatan,” katanya.

Ditanya adakah kerajaan akan kembali membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi membolehkan tujuh juta rakyat terbabit mengambil dos penggalak, beliau berkata, ia bergantung kepada Kementerian Kesihatan jika ada keperluan perkara tersebut. 

“Insya-Allah ia akan dimaklumkan selepas ini jika ada tindakan berhubung perkara itu selepas ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya