Fatimah sambut baik kelulusan RUU Anti Gangguan Seksual - Utusan Malaysia

Fatimah sambut baik kelulusan RUU Anti Gangguan Seksual

FATIMAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual di Dewan Negara.

“Alhamdulillah setelah 11 tahun akhirnya RUU Anti Gangguan Seksual diluluskan di Dewan Negara.

“Setelah diwartakan nanti, langkah harus diambil untuk menguar-uarkannya kepada pekerja tidak kira gender sebab mangsa gangguan seksual merangkumi segelintir lelaki dan perempuan yang kebanyakannya tidak tahu bahawa sekarang ada undang-undang yang melindung mereka daripada gangguan seksual,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata advokasi juga harus melibatkan penerangan tentang definasi gangguan seksual, kesan dan akibatnya kepada mangsa, tatacara pelaporan , bantuan dan sistem sokongan yang diperlukan oleh mangsa.

Menurut Fatimah, tidak ramai mangsa yg mahu tampil untuk melapor, terutama sekali jika pelakunya orang berkedudukan, berpengaruh, ‘dan sudah berkeluarga.

“Orang akan lebih berpihak kepada pelaku daripada mangsa, maknanya mangsa akan terus terus menjadi mangsa dan bukannya mendapat simpati dan sokongan. Ini perlu diubah,” tambah beliau.

Tambah beliau, tempat kerja harus menjadi tempat selamat untuk semua agar fokus dapat diberi kepada output dan outcome kerja.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman turut menyatakan rasa syukur dengan berita berkenaan dan percaya bahawa ini adalah langkah pertama untuk mengakui gangguan seksual merupakan masalah yang berleluasa dan undang-undang berkenaan akan bertindak sebagai penghalang untuk menghalang tingkah laku yang tidak sesuai itu.

“Dengan adanya rang undang-undang ini, kami (Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak) sedang mengenal pasti tingkah laku yang akan membentuk gangguan serta menyediakan kakitangan kaedah yang mereka boleh gunakan untuk melaporkan gangguan, meningkatkan kesedaran dan menyampaikan bahawa amalan sedemikian tidak akan diterima.

“Rang undang-undang ini penting kerana akibat negatif gangguan boleh berpanjangan dan teruk.

“Mereka yang mengalami gangguan seksual dalam mana-mana persekitaran kerja boleh mengalami masalah kesihatan kronik, tekanan selepas trauma, kemurungan, penyalahgunaan bahan, kesukaran pekerjaan dan masalah perhubungan” kata beliau.

Beliau berkata, gangguan seksual berlaku dalam semua sektor pekerjaan dan didorong oleh ketidakseimbangan kuasa.

“Tiada sektor yang bebas daripada gangguan seksual atau tidak terjejas oleh kesannya,” kata beliau.

Katanya lagi, gangguan seksual merosakkan kehidupan, kesihatan, prospek, kebebasan kewangan dan peluang mangsanya tetapi kehilangan produktiviti, semangat, keberkesanan dan bakat.

Beliau berkata, bertolak ansur atau gagal memberi respons yang secukupnya kepada gangguan seksual boleh menyekat keselamatan ekonomi, akses kepada peluang dan kemajuan wanita dan sasaran lain. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya