DUN Perak tangguh RUU Sumber Air - Utusan Malaysia

DUN Perak tangguh RUU Sumber Air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menangguhkan kelulusan Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2022 bagi membolehkan cadangan itu diperhalusi dan ditambah baik sebelum diluluskan.

Keputusan itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengemukakan usul berkenaan ketika sesi penggulungan RUUSA Perak 2022 selepas dibahaskan dalam Persidangan DUN Perak semalam.

Menurut Saarani, penangguhan tersebut dilaksanakan selepas mengambil kira hujah-hujah yang disampaikan lima wakil rakyat kerajaan dan lima wakil rakyat pembangkang pada sesi perbahasan RUU itu.

“Saya sendiri telah meneliti segala hujah serta pandangan Ahli-Ahli Dewan dari kedua-dua belah pihak sama ada pihak penyokong kerajaan atau pun wakil-wakil pembangkang dan mendapati dengan jelas bahawa wujud ruang dan peluang untuk penambahbaikan kepada RUU yang dicadangkan itu.

“Oleh itu, bagi tujuan memurnikan pelbagai syor dan pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan semasa perbahasan, saya dengan ini mencadangkan supaya RUU tersebut ditangguhkan kepada suatu masa yang akan ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, sebuah jawatankuasa bi-partisan akan ditubuhkan bagi membolehkan semua pihak duduk semeja untuk memperhalusi dan mengharmonikan Rang Undang-Undang tersebut.

Menurutnya, keputusan menangguhkan kelulusan RUUSA Perak 2022 ini juga dipersetujui sebulat suara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang turut membincangkan perkara berkenaan.

Keputusan menangguhkan rang undang-undang tersebut mendapat sokongan wakil kerajaan dan Pembangkang.

Semalam, pembangkang Perak menggesa RUUSA Perak 2022 yang dibentangkan pada Sidang DUN ditarik bagi membolehkan kajian terperinci berkenaan enakmen pengurusan sumber air dijalankan.

Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, banyak perkara yang tidak persetujui oleh pembangkang dalam draf Enakmen RUU itu antaranya kuasa Pengarah lembaga pengurusan air yang terlalu besar jika enakmen itu diluluskan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya