JOHOR BAHRU: Dua beranak terselamat daripada maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam longkang di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Utama, Taman Mutiara Rini, di sini hari ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.15 pagi ketika kereta Proton Saga yang dipandu Farhan Kasinin, 21, dari arah Taman Desa Skudai, Jalan Pontian Lama hilang kawalan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat.
Pemandu itu dikatakan gagal mengawal kenderaan sebaik tiba di lokasi kejadian menyebabkan kenderaan itu meluncur laju ke seberang jalan lalu merempuh tiang penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam longkang sedalam satu meter.
Orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian berhampiran Medan Niaga Mutiara Rini bergegas menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Farhan mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala bapanya, Kasinin Sungip, 68, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Skudai, Taman Universiti bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang cedera. – UTUSAN