Cubaan Anthony gantung sabitan bercanggah undang-undang

Cubaan Peter Anthony gantung sabitan bertentangan undang-undang

PETER Anthony tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi penggantungan sabitan salah terhadapnya. - FOTO/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan penggantungan sabitan salah yang difailkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony kira-kira dua bulan lalu adalah tidak bermerit dan bertentangan dengan undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika berhujah berkata, Peter yang merupakan pemohon telah menjalankan sebahagian daripada hukumannya dengan membayar denda RM50,000 yang dikenakan terhadapnya pada 26 Mei lalu.

Atas sebab itu, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang mensabit dan menjatuhkan hukuman tersebut juga dianggap telah memenuhi fungsi kehakimannya dan dianggap sebagai functus officio (isu yang telah diputuskan secara muktamad).

“Hakim sudah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh dan dia sudah membayar denda (RM50,000) yang dikenakan terhadapnya.

“Oleh itu, permohonan pihak pembelaan ini perlu ditolak kerana ia adalah cubaan semula selepas gagal kali pertama,” katanya.

Tambah Wan Shaharuddin, permohonan Peter hanya boleh dibenarkan jika terdapat kesilapan tersalah tulis (clerical error) mengikut Seksyen 278 Kanun Tatacara Jenayah tetapi dalam kes ini, tiada sebarang kesilapan berlaku.

Selain itu, beliau juga berkata hakim tidak boleh membenarkan permohonan itu pada peringkat ini kerana ia bertentangan Seksyen 278 disebabkan ia membabitkan tindakan yang dilakukan oleh seseorang hakim.

“Ketika keputusan, pendakwaan sudah meminta pengesahan jika pihak pembelaan hanya akan memohon penggantungan pelaksanaan hukuman dan pihak pembelaan mengesahkan sedemikian. Permohonan itu pada peringkat ini boleh dianggap sebagai suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” jelas Wan Shaharuddin.

Pada 26 Mei lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Pada tarikh yang sama, Azura membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan Peter telah membayar denda tersebut namun tiada sebarang perintah berhubung sabitan salah.

Pada 11 Jun lalu, Peter memfailkan notis usul memohon agar sabitan tersebut digantung atas alasan sabitan salah itu akan menjejaskan peluangnya untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mana-mana individu yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah, dihukum penjara minimum satu tahun atau didenda melebihi RM2,000 dan masih belum menerima pengampunan atau dibatalkan sabitannya tidak boleh menjadi calon pilihan raya.

Sementara itu, peguam bela, S. Devanandan menghujahkan, permohonan anak guamnya untuk menggantung pelaksanaan sabitan dibuat dengan alasan yang sama seperti dalam kes Datuk Seri Najib Razak iaitu untuk bertanding pada PRU15 yang dikatakan alasan keadaan istimewa mengikut Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah.

Tambah Devanandan, jika permohonan bagi penggantungan sabitan salah Peter tidak dibenarkan, ini menyebabkan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu hilang kelayakan bertanding pada PRU15 dan ia menyebabkan prejudis kepada Peter.

Peguam itu berkata, permohonan untuk menggantung sabitan itu hanyalah sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mendapati Anthony bersalah, diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Peter telah memfailkan notis rayuan pada 29 Mei lalu dan tarikh pengurusan kes bagi rayuan penggantungan sabitan salah ditetapkan pada 1 Ogos ini.

Pada tarikh yang sama, Mahkamah Sesyen akan membuat keputusan terhadap permohonan Peter  untuk penggantungan sabitan salah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya