PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan penurunan jangkitan positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 2,527 kes berbanding kelmarin, 2,769 kes sekali gus mengatasi 2,359 kes sembuh.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my hari ini, Selangor menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 798 kes diikuti Kuala Lumpur (726), Perak (201), Sabah (154), Negeri Sembilan (137), Pulau Pinang (127), Johor (79), Putrajaya (65), Melaka (58) dan Kedah (56).
Diikuti Pahang (43), Sarawak (40), Terengganu (18), Kelantan (14), Perlis (9) dan Labuan, dua kes. Pesakit Covid-19 yang diwadkan menurun kepada 527 orang berbanding kelmarin, 607 orang. Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 43 kes berbanding jumlah semalam, 47 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 22 kes berbanding jumlah kelmarin, 28 kes.
Bagi kluster Covid-19 pula, tiga kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 10 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,023 kluster. Tiga kluster baharu itu adalah, satu di Kepong, Kuala Lumpur, Kluster Jalan Sentul melibatkan 34 kes daripada kategori kumpulan berisiko tinggi.
Dua kluster lagi melibatkan Kinta, Perak iaitu Kluster Jalan Bercham Nova melibatkan 14 kes daripada kategori tempat kerja manakala Kluster Jalan Simpang Pulai Lahat melibatkan 10 kes daripada kategori pendidikan.
Dalam perkembangan melibatkan kematian, Malaysia tidak mencatatkan sebarang kematian Covid-19 berbanding kelmarin, enam kes sekali gus menjadikan jumlah terkini kekal sebanyak 35,771 kes. Tiada kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,586 kes. – UTUSAN