PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 3,589 kes berbanding kelmarin, 4,020 kes sekali gus mengatasi 2,224 kes sembuh.
Berdasarkan laman web https://covidnow.moh.gov.my hari ini, Selangor kembali menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 1,261 kes diikuti Kuala Lumpur (1,083), Perak (275), Negeri Sembilan (198), Sabah (176), Pulau Pinang (121), Melaka (97), Putrajaya (74), Johor (69), Sarawak (59) dan Kedah (55).
Diikuti Pahang (46), Perlis (26), Kelantan (21), Labuan (17) dan Terengganu (11).
Pesakit Covid-19 yang diwadkan meningkat kepada 525 orang berbanding kelmarin, 480 orang.
Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 42 kes berbanding jumlah semalam, 45 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal merekodkan 25 kes berbanding jumlah kelmarin, 23 kes.
Bagi kluster Covid-19 pula, satu kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 12 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,025 kluster.
Satu kluster baharu terbabit adalah Kluster Dti Persiaran Wawasan 2 melibatkan kategori Pusat Tahanan di Kangar, Perlis dengan 22 kes baharu.
Dalam perkembangan melibatkan kematian, Malaysia mencatatkan enam kematian Covid-19 berbanding kelmarin, tiga kes sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 35,801 kes.
Manakala, dua kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,593 kes. – UTUSAN