Che Zakaria tinggalkan Bersatu, sertai Amanah - Utusan Malaysia

Che Zakaria tinggalkan Bersatu, sertai Amanah

CHE Zakaria Mohd. Salleh (kiri) menyampaikan borang keahlian Amanah kepada Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan (kanan) dan disaksikan Salahuddin Ayub dalam Konvensyen Amanah Johor di Hotel Trove, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Pengumuman itu dibuat beliau dalam Konvensyen Amanah Negeri Johor yang diadakan di Hotel Trove, di sini hari ini.

Menurut Che Zakaria, keputusan berkenaan dibuat secara peribadi tanpa paksaan mana-mana pihak selepas membuat pertimbangan selama lima bulan.

“Saya telah berfikir perkara ini lama, bukan baharu ini sahaja. Saya pilih Amanah setelah membuat kajian selama lima bulan apakah parti politik yang sesuai untuk saya bagi meneruskan hasrat untuk membela dan membantu rakyat. Keputusan untuk menyertai Amanah dibuat setelah melihat parti ini tidak mempunyai banyak birokasi dan masalah kepimpinan, itu antara sebab utama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri konvensyen berkenaan.

Keputusan itu dibuat kerana beliau merasakan tidak dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekiranya terus kekal bersama Bersatu, sebaliknya Amanah mampu membantunya mencapai matlamat berkenaan.

Dakwanya, terdapat dua lagi bekas ADUN daripada Bersatu dijangka akan mengikut jejaknya menyertai Amanah dalam waktu terdekat.

“Seorang itu bekas Exco, manakala seorang lagi wakil rakyat seperti saya juga,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan Che Zakaria ‘melompat parti’ itu dibuat secara ikhlas dan bukan kerana mengharap sesuatu kedudukan dalam parti.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan pada Februari lalu, waktu itu Che Zakaria dan rakan-rakannya boleh sahaja datang ke Amanah tetapi mereka tidak berbuat demikian. Kini selepas beberapa bulan baharu dia datang. Itu membuktikan dia masuk Amanah bukan untuk kerusi atau untuk menjadi calon, dia datang secara sukarela untuk sertai wadah perjuangan baharu.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal memberitahu, tindakan dibuat Che Zakaria telah menyebabkan keahliannya sebagai ahli Bersatu gugur serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN