PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Pandan Perdana, Ampang dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2.20 petang polis menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kondominium berkenaan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati, mangsa dibawa ibunya seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan ke rumah tersebut.
Menurut beliau, sebelum kejadian, ibu mangsa yang berusia 36 tahun meninggalkan anaknya yang tidur di ruang tamu sebelum turun ke bawah untuk membasuh pakaian di dobi.
“Semasa berada di bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun di satu lokasi sebelum dia kemudian mendapati kanak-kanak yang terjatuh itu adalah anaknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang terjaga daripada tidur dipercayai membuka pintu sebelum memanjat kerusi di balkoni dan terjatuh.
Mayat nak bongsu daripada tiga beradik dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.- UTUSAN