GEORGETOWN: Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang semalam kerana tidak mempunyai lesen yang sah selain insurans tamat tempoh untuk membawa penumpang.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 5.25 petang semalam di kedudukan 0.35 kilometer Tanjung Puchat, Mukah Head, Teluk Bahang di sini.
”Bot tersebut ditahan semasa sedang membawa tiga pelancong di perairan Tanjung Puchat dan bot yang menggunakan nombor pendaftaran PPP 02389 (P) dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun.
”Pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insurans telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bot serta tekong ditahan dan dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
”Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insurans tamat tempoh,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia menasihatkan pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang ataupun pelancong di laut agar mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
”Orang ramai serta komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut. Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. – UTUSAN