Boleh kemuka usul baharu jika mahu lagi penjelasan

Boleh kemuka usul baharu jika mahu lagi penjelasan

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung isu tuntutan waris kumpulan Sulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana ahli Parlimen boleh mengemukakan usul baharu untuk membahaskan isu tuntutan kumpulan Sulu dalam sidang Parlimen minggu depan sekiranya masih tidak berpuas hati dengan penjelasan dalam pertemuan tertutup, baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menjelaskan, namun perkara itu bergantung kepada Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk sama ada menerima atau menolak usul tersebut.

Jelasnya, setakat kini pihaknya tidak menerima sebarang usul baharu oleh mana-mana ahli Parlimen termasuk pembangkang agar Parlimen menjadi platform membahaskan tuntutan kumpulan Sulu.

“Setakat ini, Dewan Rakyat hanya terima beberapa usul termasuk daripada Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang ditolak minggu lalu. Itu sahaja, yang terbaharu belum ada lagi,” katanya.

parlimen
MOHD. RASHID HASNON

Terdahulu, ahli-ahli Parlimen dari Sabah tetap mahu isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap aset negara ini dibahaskan di Parlimen meskipun Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun telah memberi penjelasan kepada mereka dalam pertemuan tertutup berlangsung, baru-baru ini.

Antaranya adalah ahli-ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan taklimat itu yang disifatkan tidak menyeluruh.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Fong Hin menjelaskan, tiada isu subjudis sekiranya wakil-wakil rakyat membahas isu tersebut apabila sidang Parlimen adalah terbaik kerana segala pandangan dikemukakan dicatatkan dalam hansard Parlimen.

“Ada pihak kata takut strategi dan rahsia terbongkar, tetapi taklimat itu hanya sekadar maklumat yang sudah diketahui orang ramai jadi apa bezanya.

“Perbahasan tidak mendatangkan sebarang risiko malah ia menggambarkan solidariti semua ahli Parlimen untuk bersatu padu mempertahan kedaulatan tanah air,” jelasnya.

AZMI HASSAN

Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, keengganan membincangkan tentang tuntutan waris kumpulan Sulu di Dewan Rakyat hanya mewujudkan teori-teori baharu dan tidak benar berhubung perkara itu apabila rakyat mahu mengetahui maklumat yang sahih.

Katanya, ia lebih berbahaya apabila kerajaan masih berahsia tentang pelan bagi menyelesaikan masalah berkaitan waris kumpulan Sulu.

Menurut beliau, rakyat berhak mendapatkan maklumat sahih berkaitan dengan tuntutan waris Sultan Sulu daripada kerajaan memandangkan ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kes tersebut melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara, sudah pasti ia akan menarik perhatian orang ramai kerana gusar tentang apa akan berlaku selepas ini. Jadi banyak perkara menjadi khabar angin dan teori-teori berkenaan isu ini dibangkitkan.

“Seharusnya perbincangan dan perdebatan berkenaan tuntutan waris Sulu dibuat secara terbuka seperti dalam Parlimen supaya rakyat disalurkan dengan maklumat-maklumat sahih daripada kerajaan sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Azmi berpendapat, alasan strategi perlu dirahsiakan tidak boleh diterima kerana kes berkenaan tuntutan waris kumpulan Sulu adalah kes secara terbuka.

“Saya tak nampak kenapa ia perlu dirahsiakan kerana kes berkenaan tuntutan waris sulu ini adalah kes terbuka. Mungkin boleh diberitahu secara asas dan dasar apa dilakukan bukan secara terperinci, tetapi, akhirnya ia juga akan dibicarakan di mahkamah secara terbuka. Jadi, untuk gunakan ‘dalil’ bahawa strategi perlu dirahsiakan adalah alasan yang tidak kukuh serta sukar diterima oleh rakyat.

“Bagi saya, ia harus dibahas secara terbuka seperti mana kita membahas berkenaan isu berkaitan Pulau Batu Puteh, saya tak nampak bezanya kerana kedua-duanya adalah mengenai kedaulatan negara dan rakyat harus dimaklumkan dengan keadaan sebenar,” jelasnya.

Tambahnya, perbahasan berkaitan tuntutan tersebut lebih baik dibuat secara terbuka untuk memberi penerangan terhadap keadaan sebenar, apakah ada kesilapan dilakukan sebelum ini dan bagaimana ia boleh diperbetulkan.

“Selama ini, ketika keputusan keputusan mahkamah di Paris berkenaan tuntutan waris Sultan Sulu dikeluarkan, tiada tekanan terhadap pihak kerajaan daripada rakyat atau ahli Parlimen.

“Sebab itu kerajaan seolah-olah tidak mengambil peduli sangat sehingga dua aset Petronas iaitu Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion) dirampas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya