KANGAR: Hasil inisiatif dan kerjasama guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi mengubah suai sebuah bilik kelas menjadi seolah-olah seperti kapal angkasa berjaya menarik minat murid bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih berkesan.
Menariknya, bilik yang dinamakan sebagai Alpha Generation Class itu dibangunkan dengan menggunakan barangan terpakai mengikut kreativiti guru-guru sekolah berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besarnya, Zairi Bakar berkata, guru-guru mengambil insiatif menggunakan barangan rosak yang terdapat di sekolah tersebut seperti meja, pintu, kerusi, permaidani dan beberapa lagi untuk membangunkan kelas berkenaan.
“Semua barangan yang rosak itu dibaiki semula hasil kerjasama guru-guru untuk digunakan semula dalam bilik kapal angkasa itu,” katanya.
Menurut Zairi, bilik tersebut sebelum ini adalah kelas bagi mata pelajaran jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) dan diubah suai semula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Katanya, idea pembangunan bilik berkonsepkan kapal angkasa itu dicapai menerusi perbincangan bersama guru-guru dalam usaha menarik minat murid belajar.
“Menerusi perbincangan bersama guru-guru, kami bersetuju menggunakan barangan terpakai bagi menjimatkan kos disamping turut mengeluarkan sedikit wang sendiri untuk membeli keperluan tambahan lain,” katanya.
Katanya, sejak bilik kelas itu mula beroperasi pada awal tahun ini, murid-murid dilihat semakin berminat dan menumpukan perhatian sewaktu proses PdP berlangsung.
“Suasana di dalam bilik itu yang berbeza turut dihiasi mural dan sistem pencahayaan menarik telah memberi suasana baharu kepada murid untuk belajar,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Kokurikulum SK Jejawi, Zurimi Hashim pula berkata, antara kemudahan yang terdapat di dalam bilik berkenaan adalah internet, komputer riba, komputer, televisyen dan paparan hablur cecair (LCD).
Katanya, kemudahan-kemudahan itu disediakan bagi memudahkan para guru melaksanakan proses PnP dengan lebih berkesan dan lancar.
“Bilik ini sememangnya digunakan dengan sebaiknya oleh para guru malah ia mampu memuatkan seramai kira-kira 25 orang murid pada satu masa,” katanya.
Katanya lagi, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan turut memainkan peranan membantu pihak sekolah membangunkan bilik terbabit.
“Pihak pengurusan sekolah berharap agar bilik berkonsepkan kapal angkasa ini dapat dibangunkan lagi selepas ini memandangkan ia sememangnya dapat membantu untuk menarik minat murid-murid belajar,” katanya.
Sementara itu, seorang murid darjah lima sekolah berkenaan, Mohd Darwish Harraz, 11, berkata, dia sangat teruja setiap kali mengikuti sesi pembelajaran di bilik berkenaan memandangkan suasananya amat menarik seperti berada dalam kapal angkasa. – UTUSAN