SHAH ALAM: Perbicaraan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tuduhan rasuah daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini ditangguhkan berikutan Saksi Pendakwaan Ke-18 yang terakhir tidak dapat hadir kerana dijangkiti Covid-19.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa bagi memohon penangguhan tersebut selepas saksi didapati tidak sihat semalam.
“Kami dimaklumkan IO positif Covid-19 lewat malam semalam, oleh kerana itu kami tak dapat memanggil beliau (memberikan kesaksian) untuk hari ini.
“Sungguhpun begitu yang arif, kami memohon untuk ditukarkan kepada 29 Julai, Jumaat. Kami ingin mengambil kira jika IO sihat dan pulih semula, maknanya negatif, kami ingin memanggil saksi tersebut untuk hadir pada hari Jumaat,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan turut memohon tarikh perbicaraan pada 11 dan 12 Ogos dikekalkan supaya dapat meneruskan prosiding.
“Sudah banyak tarikh bicara ditetapkan. Kita ada beberapa lagi pada 11 dan 12 Ogos ini. Jika tiada aral melintang, perbicaran boleh diteruskan ke tarikh itu,” jelasnya.
Hakim Mohd. Yazid kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan bicara bersambung pada Jumaat ini, tepat pukul 9 pagi.
Semalam, Saksi Pendakwaan Ke-17, David Tan Siong Sun menamatkan kesaksiannya dengan mendedahkan lebih ramai lagi individu berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing dikatakan menerima RM2.6 juta dan RM1.3 juta.
Malah, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB yang diperiksa di mahkamah selama tiga hari pada peringkat pendakwaan itu turut mendedahkan nama-nama lain seperti bekas pemimpin MCA, Tan Sri Chan Kong Choy dan Tan Sri Ong Ka Chuan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Masing-masing diberikan dana daripada UKSB sebanyak RM7.8 juta, RM922,820 dan RM1.162 juta dengan catatan kod nama dalam lejar syarikat berkenaan sebagai ‘Prof’, ‘OKC’ dan ‘S Pat’.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Shahril Sufian dalam makluman kepada akhbar menafikan mereka menerima dana daripada sumber berkenaan dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disasat.
Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN. – UTUSAN