SHAH ALAM: Perbicaraan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung tuduhan menerima rasuah daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi hari ini ditangguhkan selepas saksi masih tidak dapat hadir akibat positif Covid-19.
Saksi terakhir itu sepatutnya menjalani pemeriksaan pada prosiding peringkat pendakwaan hari ini sebelum perbicaraan memasuki bahagian hujahan yang dijadualkan bermula pada bulan hadapan.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob di hadapan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa kemudian memohon tarikh baharu sambung bicara bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang sepatutnya berlangsung hari ini.
“Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara, walau bagaimanapun dukacita dimaklumkan bahawa saksi terakhir kami (pendakwaan) masih positif Covid-19 dan menjalani kuarantin sehingga 31 Julai.
“Jika diizinkan kami memohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 10 hingga 12 Ogos depan,” katanya.
Hakim Mohd. Yazid kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan bicara bersambung pada tarikh tersebut.
Terdahulu, Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh bicara hari ini selepas pihak pendakwaan membuat permohonan susulan Saksi Pendakwaan Ke-18 dimaklumkan positif Covid-19 pada Selasa lalu.
Ramai
Saksi Pendakwaan Ke-17, David Tan Siong Sun sebelum ini menamatkan keterangannya dengan mendedahkan lebih ramai lagi individu berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing didakwa menerima dana RM2.6 juta dan RM1.3 juta.
Malah, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB yang diperiksa di mahkamah selama tiga hari pada peringkat pendakwaan itu turut mendedahkan nama-nama lain seperti bekas pemimpin MCA, Tan Sri Chan Kong Choy dan Tan Sri Ong Ka Chuan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Masing-masing diberikan dana daripada UKSB sebanyak RM7.8 juta, RM922,820 dan RM1.162 juta dengan catatan kod nama dalam lejar syarikat berkenaan sebagai ‘Prof’, ‘OKC’ dan ‘S Pat’.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Shahril Sufian dalam makluman kepada akhbar menafikan mereka menerima dana daripada sumber berkenaan dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disasat.
Dalam perbicaraan itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik, dan Zander Lim Wai Keong sementara Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang juga bekas Menteri Dalam Negeri dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Dalam 33 pertuduhan lain, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menerima S$13.56 juta wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.- UTUSAN