SUDAH lama kita tidak dapat menikmati festival muzik berskala besar. Dua minggu lalu, Rainforest World Music Festival kembali dengan lebih 20 artis membuat persembahan. Sebelum ini juga ada Pesta Luas, Hari Atas Angin dan minggu ini, ada Northern Music Festival dan Soundcircus. Namun, tidak ada yang dapat menandingi impian besar Atas Angin melalui Atas Angin Independent Festival.
Mereka mengumpulkan 30 artis dengan prestij tinggi dalam dua pentas pada 6 Ogos ini. Berlangsung sepanjang hari – pagi hingga tengah malam – festival ini menyasarkan 3,000 pengunjung untuk membanjiri perkarangan Gamuda Cove.
Lebih menarik, segala tawaran ini dapat dinikmati pengunjung dengan harga tiket yang sangat berbaloi, iaitu RM100 untuk ahli Atas Angin dan RM130 untuk bukan ahli.
“Ini hadiah kami untuk mereka yang selama ini banyak menyokong Atas Angin,” kata Bam, pengasas Atas Angin.
Pengalaman berbeza
Janji Bam kepada pembeli tiket Atas Angin Independent Festival, mereka akan sangat penat dalam festival itu nanti. Bayangkan, persembahan berterusan dari kugiran ternama sejak 9 pagi sehingga ke tengah malam.
Dua pentas dalam festival ini akan diletakkan bersebelahan tetapi bertentangan. Untuk bergerak dari pentas pertama ke kedua, anda akan bergerak dalam satu bulatan yang besar.
“Sebab itu kami ada guna tanda pagar #biggestcirclepit. Apabila penonton menukar pentas, mereka seakan-akan berjalan dalam satu circle pit yang besar,” jelas Bam.
Buat yang rindu, Atas Angin juga akan mengembalikan colour mosh. Menarilah anda dengan penuh warna sepanjang festival itu nanti. Beberapa kugiran juga sudah bersedia untuk mengeluarkan cenderamata khas sempena festival ini.
Senarai super
Dalam senarai 30 artis yang membuat persembahan, dua nama menarik perhatian saya: Da Vagabonds dan Salammusik.
Da Vagabonds ialah kugiran super yang membariskan pemuzik handalan, iaitu Noh Salleh (Hujan), Herri Hamid (Bittersweet), Irfan Iskandar (Toko Kilat) dan Alea Sutan (Velvet). Ditubuhkan pada 2013, tidak silap saya persembahan terakhir mereka adalah pada 2019, dalam acara Manic Mondo.
Salammusik juga mengujakan. Status mereka sebagai kugiran tempatan yang berjaya di pentas antarabangsa meningkatkan prestij festival ini. Mereka tidak pernah berhenti menghasilkan muzik dengan pelbagai lagu dilancarkan di Youtube dalam tempoh beberapa tahun ini. Menyaksikan mereka mempersembahkan lagu-lagu itu secara langsung memang menjadi impian ramai peminat.
Selain dua nama itu, pengunjung juga akan menikmati persembahan dari kugiran ‘besar’ lain seperti The Times, Gerhana Ska Cinta, Plague of Happiness dan Sekumpulan Orang Gila.
Dalam musim penganjuran gig yang sangat aktif ketika ini, senarai persembahan yang ditawarkan Atas Angin Independent Festival adalah yang paling mengujakan dan berbaloi. Ia seperti semua gig utama sepanjang beberapa bulan ini digabungkan, dengan tambahan dua kugiran eksklusif.
Beri peluang
Bagi Atas Angin, mereka mahu peminat muzik tempatan memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan bahawa penganjuran festival berskala besar seperti ini boleh dilaksanakan oleh penganjur tempatan dengan penglibatan sepenuhnya kugiran tempatan.
Ia pastilah sebuah pertaruhan yang besar dan berisiko. Festival dengan skala sebesar ini, biasanya menggunakan kugiran luar sebagai tarikan tetapi Atas Angin mahu membuktikan, kugiran tempatan juga cukup kuat untuk menarik kehadiran pengunjung.
“Kita membesar dengan mendengar lagu kugiran-kugiran ini. Bagi aku, peminat muzik Malaysia lebih menghargai artis tempatan. Kami buat ini pun untuk raikan artis-artis yang menghiburkan kita sejak dulu.
“Melalui festival ini, kami mahu tunjukkan yang penganjur tempatan dan artis tempatan boleh anjurkan festival seperti ini dengan cara yang betul. Jadi, kami minta peminat muzik untuk beri peluang kepada kami. Jika festival ini berjaya, akan ada banyak lagi festival yang lebih besar kami boleh buat selepas ini,” kata Bam.
Suasana festival, artis terbaik, kepuasan melayan muzik sepanjang hari – semua ini pengalaman yang ditawarkan Atas Angin Independent Festival. Mahu terima atau tidak tawaran ini, ia terpulang kepada anda. Jika anda mahu, segera layari atasangin.com untuk membeli tiket.