Bernas, CSR sediakan makanan berkhasiat untuk murid - Utusan Malaysia

Bernas, CSR sediakan makanan berkhasiat untuk murid

MURID SK Haji Salleh Masri menikmati makanan percuma yang disumbangkan Bernas dan CSR dalam Promak di Kuala Kedah, Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kumpulan Bernas melalui Padiberas Nasional Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) sejak Januari lalu menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi merealisasikan Program Makanan Kesihatan (Promak) yang membekalkan makanan berkhasiat kepada murid sekolah rendah di seluruh negara.

Melalui program tersebut, bekalan set makanan tengah hari yang lengkap disediakan buat pelajar sebaik sahaja mereka selesai menjalani sesi pembelajaran di sekolah masing-masing.

Pengarah Urusan Kumpulan Bernas, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, Promak bertujuan menyokong usaha kerajaan dalam menangani masalah malnutrisi kanak-kanak selain memperkasakan generasi muda dengan makanan berkhasiat.

“Usaha ini bermula dengan keprihatinan terhadap cabaran dihadapi ibu bapa berpendapatan rendah membekalkan makanan seimbang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Secara keseluruhannya kami menyasarkan sebanyak 20,000 murid mendapat manfaat daripada program ini. Melalui program ini, sekolah terpilih akan menikmati makanan sihat setiap hari bagi tempoh lima tahun bermula 2022 hingga 2026,” katanya di sini semalam.

Sejak mula dilancarkan pada 9 januari lalu, seramai 3,000 murid di Kelantan dan Terengganu sudah menerima manfaat daripada program tersebut.

Kemudiannya program tersebut dibawa ke Kedah melibatkan 8,000 murid di 33 sekolah bermula 20 Jun lalu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 10,500 pelajar pada akhir Ogos sebelum ia diperluaskan ke Perlis tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Rozaini Ahmad berkata, program tersebut mendapat maklum balas cukup baik dalam kalangan ibu bapa, pentadbir sekolah serta para waris.

“Kira-kira 90 peratus waris murid di sekolah-sekolah yang terlibat dengan program ini berada dalam kategori B40. Boleh dikatakan, pemilihan itu amat tepat dalam mendatangkan kebaikan buat anak-anak serta ibu bapa mereka.

“Terdapat 15 menu pilihan berkhasiat disediakan secara bergilir-gilir setiap hari, bersesuaian dengan selera orang Kedah dan dipantau oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Untuk memantapkan pengurusan program ini, pemantauan secara harian sentiasa dilaksanakan dengan pengusaha kantin perlu mendokumentasikan gambar penyediaan makanan selain menimbang sisa makanan serta menghantar laporan bertulis untuk dianalisis setiap hari,” katanya.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo pula memaklumkan, menu yang disediakan itu dipilih bersandarkan kepada keperluan murid yang lengkap dengan kepelbagaian, seimbang serta bersandarkan piramid makanan.

“Sebagai contoh, setiap hidangan dipastikan lengkap dengan sayur-sayuran, buah-buahan serta sumber protein seperti ayam. Kita cuma tidak memberi susu kerana minuman itu dibekalkan melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Kita sangat mengalu-alukan inisiatif ini kerana makanan merupakan keperluan paling asas buat kanak-kanak. Rata-rata sekolah terpilih melibatkan keluarga yang memiliki taraf ekonomi agak rendah dan program sebegini sudah tentu amat membantu dalam memberikan murid makanan seimbang, mencukupi dan mengikut keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang waris di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Salleh Masri di Kuala Kedah, Sharida Azizan, 38, menyatakan rasa syukur kerana sekolah anaknya itu terpilih untuk mengikuti program tersebut.

“Saya dan suami hanya berniaga di pasar malam dan pendapatan kami pun tidak menentu. Dalam keadaan itu, mungkin sukar buat kami untuk memberikan makanan berkhasiat yang lengkap kepada anak-anak.

“Tetapi dengan adanya program ini, anak-anak dipastikan menerima makanan seimbang dan bernutrisi. Sejak program ini dilaksanakan, anak saya, Muhammad Farish Fitri Faizal, tidak lagi terkejar-kejar untuk pulang makan di rumah sebelum ke Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermula dan dia juga tidak pernah mengadu makanan disediakan tidak sedap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya