Bekas pengarah didenda RM85,000 guna dokumen palsu

Bekas pengarah didenda RM85,000 guna dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM85,000 kepada seorang bekas Pengarah Malaysian Intellect Development Foundation (MIDF) atas tuduhan menggunakan dokumen pembayaran baucar RM75,000 palsu, tahun lalu. 

Tertuduh, S. Vijaya Kumar, 47, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussain. 

Mengikut kertas pertuduhan, Vijaya Kumar melakukan kesalahan itu di Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Kementerian Perpaduan Negara, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 2 Julai 2021.

Dia didakwa telah menggunakan Baucar Pembayaran MIDF berjumlah RM75,000 dan bertarikh 24 November 2020 bertajuk ‘Summit Trading, Being Payment for Hand Sanitizer’ sedangkan tertuduh mengetahui dokumen tersebut adalah palsu.

Ia merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 465 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-dua sekali.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A. Kalaivani manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Ketika mengemukakan rayuan, Vijaya Kumar merayu kepada Suzana supaya dia tidak dipenjarakan dan hanya dikenakan  hukuman denda yang minimum.

Tambah tertuduh, dia kesal atas perbuatannya serta berasa malu terhadap keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. 

Selain itu, Vijaya Kumar menyatakan dia melakukan kesalahan itu atas arahan orang lain dan tiada transaksi kewangan daripada program Tamil Schools Post Covid-19 Assistance (TAS-Covid) dimasukkan ke akaunnya. Tertuduh juga telah meletak jawatan daripada organisasi tersebut dan kini bekerja sebagai perunding bebas. 

Bagaimanapun, Kalaivani memohon kepada mahkamah supaya tertuduh diberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan itu membabitkan wang berjumlah RM75,000. 

Selepas menjatuhkan hukuman denda itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya