HULU TERENGGANU: Seorang bekas banduan yang disyaki ketua Geng Fahmy menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas tiga pertuduhan memecah masuk rumah di Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohd. Fahmy Osman, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Pada 21 Jun lalu, dia yang baru dibebaskan dari penjara pada awal tahun ini membuat pengakuan bersalah terhadap tiga pertuduhan memecah masuk rumah di Mahkamah Majistret Marang.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memecah masuk sebuah rumah di Kampung Pauh, Hulu Terengganu dan mencuri 29 barangan kemas berupa gelang emas, rantai, cincin, loket, ‘beads’ dan ‘charm’ emas serta wang tunai RM1,000 pada pukul 1 pagi, 2 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah rumah lain di Jalan Tanggol Butut, Hulu Terengganu dan mencuri 11 barangan kemas berupa gelang, loket dan cincin emas serta wang tunai berjumlah RM1,000 pada pukul 1 pagi, 28 Mei lalu.
Mohd. Fahmy turut menghadapi satu lagi pertuduhan memecah masuk sebuah rumah lain di Bukit Tok Bat, Hulu Terengganu dan mencuri dua bentuk cincin emas dan wang tunai berjumlah RM3,020 pada pukul 7.30 pagi, 9 Mei lalu.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga menghadapi satu lagi pertuduhan memasukkan dadah di badan badan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Majistret Engku Nurul Ain menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 28 Ogos ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara bagaikan tidak serik apabila membentuk kumpulan pecah rumah bersama kakak dan abang iparnya.
Mereka yang dikenali sebagai Geng Fahmy dipercayai aktif melakukan aktiviti memecah masuk rumah di daerah ini dan Hulu Terengganu dengan menjadikan barangan kemas dan wang tunai sebagai sasaran utama. – UTUSAN