KUALA TERENGGANU: Beberapa jenis ubat-ubatan dikesan mengalami kekurangan di pasaran terutamanya di farmasi di daerah ini sejak tiga bulan lalu.
Antara ubat yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat demam jenis panadol dan antibiotik, azithromycin.
Seorang ahli farmasi, Liyana Yasmin Badaruddin, 26, berkata, pada masa ini ubat demam dan antibiotik yang paling berkurangan kerana mendapat permintaan yang tinggi untuk rawatan harian pesakit.
Bagaimanapun, katanya, bekalan ubat batuk dan selesema untuk dewasa dan kanak-kanak masih terkawal.
“Pesakit masih boleh membuat pilihan jenama ubat-ubatan lain untuk merawat demam dan antibiotik, selain jenis panadol serta azithromycin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi ahli farmasi yang mahu dikenali Wawa, 27, berkata, bekalan ubat jenis panadol terputus di farmasinya sejak tiga bulan lalu.
“Setiap kali kami kekurangan ubat, saya akan mengesyorkan jenama lain dan kebanyakan pembeli boleh menerimanya,” ujarnya.
Sebelum ini akhbar dilaporkan Kementerian Kesihatan mencari strategi bagi penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubat termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha kementerian untuk melihat kepada isu gangguan bekalan ubatan itu terutama di klinik swasta dan farmasi pada masa ini. – UTUSAN