SEREMBAN: Kesemua kawasan di Negeri Sembilan dan Melaka yang mengalami gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba hari ini telah kembali pulih.
Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Wilayah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Sembilan/Melaka, Ahmad Fadhli Aziz.
“Semua bekalan dipulihkan untuk seluruh kawasan terlibat di Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu menurut beliau, di Negeri Sembilan, tiga daerah mengalami gangguan bekalan elektrik sementara iaitu Seremban, Port Dickson dan Tampin.
“Di Seremban antara kawasan yang terjejas adalah di Sendayan, S2 Height, Rasah, Nilai dan Bandar Enstek. Ia juga melibatkan hampir keseluruhan kawasan di Tampin.
“Di Port Dickson pula, antara kawasan terjejas adalah di Lukut, Kampung Pachitan, Kampung Kebun Jimah, Kampung Baru Sungai Nipah dan Kampung Baru Tanah Merah Site A,” katanya.
Dalam pada itu, kata Ahmad Fadhli, di Melaka, kawasan yang terjejas adalah di Malim Jaya dan Batu Berendam. – UTUSAN