TANAH MERAH: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menahan dua buah lori dan merampas beg tangan wanita dan kasut tiruan bernilai RM3.3 juta dalam serbuan di di Bukit Bunga, di sini, kelmarin.
Rampasan barangan tiruan pada pukul 6 petang itu dilakukan oleh anggota Batalion 7 PGA hasil rondaan rutin menerusi Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa rondaan di Bukit Bunga, anggota bertugas melihat dua buah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Melihat keadaan curiga itu, anggota Batalion 7 PGA terus mengekori lori tersebut dan berjaya menahan dua pemandu berusia 30 serta 31 tahun di bahu jalan berdekatan Balai Polis Bukit Bunga, di sini.
“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan tersebut telah menjumpai beberapa guni berwarna putih berisi beg tangan wanita dan kasut dipercayai tiruan.
“Suspek bersama barang kes dan lori kemudian dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang, Pasir Mas, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kesemua barangan tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui jalan tidak diwartakan.
Katanya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE