PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan pelantikan Datuk Bashir Alias sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Bashir menggantikan Datuk Seri Amir Hussein yang menamatkan perkhidmatannya pada 30 Jun lalu.
Beliau berkata, pelantikan itu selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Labuan 2001 [Akta 609].
“Bashir mempunyai pengalaman luas di Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan perkhidmatan beliau dalam Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan.
“Saya percaya dengan pengalaman luas serta daya kepimpinan Bashir dan beliau akan terus menerajui Perbadanan Labuan dalam menambahbaik ekosistem ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan supaya terus berkembang dan kekal berdaya saing,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, beliau berharap Bashir dapat menggunakan pengalamannya membangunkan Labuan dan menarik pelabur asing ke pulau berkenaan.
Shahidan berkata, kementeriannya juga komited membangunkan Labuan supaya berada pada tahap kecemerlangan pada zaman moden ini khususnya selepas pandemik Covid-19.
“Kami akan pastikan pembangunan tanah di Labuan betul-betul dapat memberi manfaat kepada pelabur dan masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, Shahidan turut mengumumkan pelantikan Amir sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.
Katanya, Amir menggantikan Bashir yang berkhidmat sehingga 30 Jun lalu sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan.
“Amir mempunyai pengalaman luas di Wilayah Persekutuan Labuan selain pernah menjawat Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Tempatan Labuan dan ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Labuan serta pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Labuan,” katanya. – UTUSAN