PEKAN: Seorang bapa dan anak perempuannya meninggal dunia terlibat kemalangan membabitkan pertembungan empat buah kenderaan di kilometer 39 Jalan Kuantan-Segamat, semalam.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 12.11 tengah hari di kawasan yang tidak diisytiharkan sebagai lokasi titik hitam kemalangan.
Kemalangan tersebut membabitkan lima mangsa namun dua daripadanya disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Mangsa yang meninggal dunia, Muhammad Padillah Hussin, 52, dan anaknya, Nurul Solehah berusia 23 tahun.
Ketua Polis Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut iailah sebuah kenderaan jenis Proton Wira, dua jenis lori iaitu Hino dan Isuzu serta sebuah kenderaan van jenis Nissan.
Menurutnya, kemalangan berpunca daripada kecuaian kenderaan jenis Proton Wira yang memandu secara melulu dalam perjalanan dari Segamat ke arah Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian Proton Wira itu dipercayai terbabas dan telah masuk ke laluan bertentangan hingga melanggar tayar belakang sebelah kanan lori Hino, seterusnya melanggar pula hadapan van Nissan yang mana kedua-dua kenderaan itu menghala ke Segamat.
“Susulan itu, sebuah lori jenis Isuzu yang berada di belakang tidak sempat mengelak lantas melanggar van tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohd. Zaidi berkata, tiga mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun Muhammad Padillah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan kira-kira pukul 1.53 petang manakala anaknya, Nurul Solehah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi kira-kira pukul 6.39 petang.
“Sementara itu, seorang lagi mangsa yang dibawa ke HTAA, selamat dan hanya mengalami patah tangan kanan,” katanya.
Kes kemalangan maut tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN