Mubarak Majid, seorang anak seni yang cukup dikenali dalam arena seni tempatan ini. Berilah pelbagai karakter sekali pun, antagonis, teraniaya, suami dayus, semestinya digalasnya dengan baik.
Malah, lakonannya paling terkesan, apabila figura ini tampil dengan watak seorang bapa. Ya, dia salah seorang pelakon veteran yang saya kagumi dari segi bakat lakonannya.
Bercerita mengenai bakat, dia menyifatkan bakat haruslah seiring dengan penambahan ilmu pengetahuan agar dapat menjadikan pelakon sebagai seorang anak wayang yang versatil.
“Bakat ini kita tidak dapat nak nilai. Ia kerana setiap bakat yang dimiliki seseorang itu tidak sama.
“Walau mempunyai bakat tetapi jika tidak ditambahkan dengan ilmu, saya rasa ia tidak boleh pergi jauh.
“Itulah kita nampak ada segelintir yang tidak versatil kan. Saya bukan pandai nak cakap pun, tetapi saya kongsikan dari segi pengalaman yang ada,” katanya.
Tambah Pelakon Lelaki Terbaik (Best Actor) di Motion Horse International Film Festival (MHFF) 2022 ini, adalah satu yang merugikan buat seorang pelakon itu jika tidak mengambil peluang bagi versatilkan watak.
“Kadang kala, kita lihat dia bagus. Namun, apabila dalam cerita lain ‘eh, macam itu juga’. Tiada peningkatan.
“Jadi itu merugikan. Bidang ini bukan kita yang menilai, tetapi orang lain yang menjadi juri,” ujarnya.
Mubarak turut berpendapat penghasilan sebuah karya yang terlalu cepat adalah punca kekangan masa untuk pelakon membuat persiapan awal bagi mengkaji watak dengan lebih mendalam.
“Kadang kala juga, dapat dilihat industri kita ini terlalu cepat untuk menghasilkan sesebuah filem. Dapat skrip pun dekat-dekat nak pengambaran.
“Tiada masa untuk pelakon nak mengkaji watak. Itu adalah salah satu sebab.
“Ia satu yang merugikan kerana sebagai pelakon haruslah ada persiapan awal untuk mengisi mutu lakonan pada diri mereka sendiri,” tuturnya lagi.
DIHARGAI?
“Soalan yang awak beri ini kan… bimbang ada pihak terasa. Tetapi… tetapi awak pun dah tahu kan, sudah boleh agak juga.”
Itulah jawapan ringkas yang diberikan pelakon drama popular Cukup Derita Itu apa saya bertanya adakah dia rasa dihargai dalam industri tempatan ini.
Ketika ditanya, terhenti seketika beberapa detik untuk pelakon ini menjawab. Namun, jelas kelihatan air mukanya seolah menahan sebak untuk melontarkan kata.
Maka, saya ‘berganjak’ ke soalan berikutnya. Bertanya pendapatnya mengenai industri seni pada masa ini.
Kata Mubarak, karya-karya tempatan dilihat semakin bagus terutama filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencipta fenomena tersendiri .
Turut memberi kredit buat filem tersebut, dia memuji setiap perincian yang dipamerkan pengarah Syamsul Yusof dalam karya ini.
Secara tidak langsung, dia mendedahkan filem berkenaan adalah karya paling terbaik yang dikeluarkan pengarah terkenal itu.
“Kehebatan filem itu bukan sahaja pada skrip malah dari segi lakonan. Pemilihan pelakon yang tepat. Selain seni silat yang dipamerkan dan kesan-kesan bunyi yang cukup cantik.
“Filem yang terbaik setakat ini yang saya rasa dikeluarkan oleh pengarah Syamsul Yusof di pawagam,” ujarnya.
Mubarak menerima pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia Badan Peneraju Seni Budaya. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.