Bakat cilik: Bukan sekadar ingin popular - Utusan Malaysia

Bakat cilik: Bukan sekadar ingin popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama mereka mungkin tidak begitu dikenali ramai tetapi tiga model cilik dan remaja ini sedang mengasah bakat dan meningkat naik dalam dunia peragaan dan lakonan.

Malah nama mereka juga semakin menjadi sebutan dalam dunia peragaan model cilik dan lakonan sama ada dalam bentuk muzik video mahupun drama yang menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Fatah Amin dan Diana Dianelle.

Aleysha Sofeea Azman,10, Andriana Elisya Mohd. Ramli,14 dan Nurul Fatihah Mohd. Aznan, 15, masing-masing memiliki bakat tersendiri yang jika diasah, mampu setanding dengan model dewasa apabila beraksi di pentas peragaan mahupun lakonan.

Ketika sesi bergambar baru-baru ini, ketiga-tiganya menunjukkan gaya bersahaja dan spontan walaupun awalnya agak malu-malu kerana ia pengalaman pertama mereka beraksi di depan kamera yang tentunya agak berbeza ketika memperagakan pakaian di pentas.

Bakat Aleysha Sofeea, dikesan oleh seorang individu yang mencadangkan supaya anak bongsu daripada tiga beradik itu menyertai pertandingan model cilik di Melaka yang dijalankan pada tahun 2019.

“Alesyha memang suka menghadap dan berlakon di hadapan cermin. Saya tahu dia minat dengan modelling. Sebagai ibu, saya menyokong minatnya untuk menjadi model cilik tetapi sudah tentulah saya akan pastikan dia tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggung jawab.

“Banyak pertandingan sudah disertai Alesyha dan pernah memenangi pertandingan Ratu Kebaya Cilik 2019 yang dijalankan di Tasik Titiwangsa. Alesyha juga terkenal dengan senyumannya dalam kalangan mereka yang terbabit dengan model cilik selepas merangkul gelaran ‘Best Beauty Smile’ pada pertandingan Little Miss Malaysia 2022,” kata ibunya, Johanna Jane William @ Noratikah Abdullah, 46.

Johanna juga sebenarnya adalah salah seorang bekas penembak negara sekitar tahun 1990 dan pernah mewakili negara dalam suka Asia. Justeru, bagi Johanna, bakat seseorang anak itu perlu dicungkil bagi memperluaskan kebolehan mereka tanpa hanya tertumpu kepada akademik semata-mata.

Bagaimanapun Johanna berkata, buat masa ini, Alesyha yang bersekolah di sekolah Cina, tidak dibenarkan terbabit dalam bidang lakonan kerana dikhuatiri akan mengganggu persekolahannya.

“Bagi saya model cilik tiada masalah kerana ia bukan saja memberikan pengalaman kepada anak tetapi juga mematangkan mereka. Apa yang penting, mereka perlu dididik supaya pandai membawa diri,” katanya.

Alesyha berkata dia belum berhasrat untuk menjadikan dunia modelling sebagai kerjayanya apabila dewasa kelak. Di sebalik senyuman manisnya, Alesyha menyimpan hasrat untuk bergelar polis.

“Saya bercita-cita hendak menjadi anggota polis kerana mengikut jejak ayah. Mungkin sebab saya suka menonton filem aksi dan seronok tengok polis menangkap orang jahat. Sekarang pun saya baru saja menyertai kelas taekwando.

“Saya suka buat modelling sebab duit yang saya dapat boleh disimpan untuk kegunaan saya sendiri di masa kecemasan. Biasanya untuk sekali peragaan saya boleh dapat sekitar RM150 ke atas. Terbaharu, saya dapat tugasan mengayakan produk syampu,” katanya yang meminati Nasha Aziz dan Gigi Hadid.

Selain gemar berposing, Alesyha juga suka mengisi masa lapang dengan berenang dan menari. Dia juga mengikut kelas modelling untuk mengasah lagi kemahiran dalam dunia peragaan.


Tampil dalam muzik video

Bagi Andriana Elisya, pengalaman tampil dalam muzik video lagu Raya Terbaik dendangan Dayang Nurfaizah, Hanna Delisha dan Sofia Liyana, adalah pengalaman cukup berharga.

Biarpun penampilannya hanya sebagai pelakon tambahan atau ekstra, Andriana atau lebih mesra dengan panggilan Caca, menyifatkan pembabitannya dalam muzik video itu, sebagai laluan untuknya terus meniti nama dalam bidang lakonan selain peragaan.

“Selain berlakon dalam muzik video, Caca juga berlakon dalam drama She Was Pretty bersama pelakon terkenal, Diana Danielle, Alvin Chong dan Aiman Hakim, drama berjudul Cempaka Malaya dan terbaharu, Inspector Baby Face.

“Caca mula menyertai bidang peragaan ketika di darjah empat lagi dengan mendaftar kelas modelling dengan WLS Modelling. Kemudian menyertai pelbagai pertandingan dan peragaan untuk mengisi masa dan minat,” katanya yang menjadikan supermodel seperti Amber Chia dan Nasha Aziz sebagai idola.

Caca yang bercita-cita ingin menjadi juruterbang apabila dewasa kelak, turut aktif dalam sukan seperti bola jaring dan terbaharu, berjaya menduduki tempat ke 14 daripada 40 penyertaan dalam merentas desa di sekolah. Di masa lapang, Caca gemar mengambil gambar.

Penyerang hoki jadi pelakon
Sementara itu, Nurul Fatihah Mohd Aznan,15, juga sedang menempa nama dalam bidang lakonan drama serta modelling.
Setakat ini, Nurul Fatihah sudah berlakon dalam beberapa drama menerusi beberapa produksi.

Penampilannya boleh ditonton menerusi drama She Was Pretty, Talak Satu dan Inspector Baby Face yang bakal ditayangkan pada tahun depan.

“Selain berlakon drama, saya juga pernah tampil dalam iklan Vites Malaysia dan terbaharu dalam iklan Maxis. Minat berlakon mula timbul apabila saya sering menonton drama di kaca televisyen dan YouTube. Daripada situ, saya mula mencuba bakat.

“Bergelar pelakon dan pada masa sama masih di bangku sekolah, saya perlu bijak membahagikan masa antara bidang lakonan dan akademi. Saya bersyukur kerana banyak mendapat sokongan ibu, Aini Jamaiyah yang menemani saya ke mana saja,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Bagaimanapun, Nurul Fatihah berkata, dia menanam cita-cita untuk bergelar pensyarah dalam bidang perakaunan, mengikut jejak ibunya, Aini Jamaiyah Salim, 42 yang juga adalah pensyarah pentadbiran perniagaan di sebuah universiti di bandaraya Kuala Lumpur.

Gadis berdarah campuran Cina dan Melayu ini, turut aktif dalam sukan dan pernah bergelar penyerang dalam sukan hoki serta pernah mewakili sekolah ketika di darjah lima dan enam. Malah, dia kini juga sedang sibuk menyertai pertandingan bola baling Zon Keramat.

“Sejak sekolah rendah lagi, saya minat hoki dan sering berlatih sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Minat bermain bola baling pula bermula ketika menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Dalam akademik, saya minat matematik dan ingin mendalami bidang perakaunan,” katanya yang bersekolah di salah sebuah sekolah aliran Cina.

Nurul Fatihah yang fasih berbahasa Mandarin, bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga, guru-guru dan rakan sebaya dalam setiap bidang yang diceburinya.

Bagi kanak-kanak dan remaja ini, bukan populariti yang dicari tetapi pengalaman yang akan mengajar mereka mengenai selok belok kerjaya dalam bidang berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya