TAMPIN: Tangan kiri seorang anggota tentera hampir putus selepas tersangkut di rim motosikalnya apabila baju panas dipakainya terbelit pada bahagian gegancu (sprocket) kenderaan itu.
Kejadian itu berlaku pada pukul 7.10 pagi tadi semasa anggota tentera dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini menunggang motosikal bersama seorang rakannya.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, sebelum kejadian mangsa dan rakannya masing-masing berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar menuju ke Pasukan Skuadron Ke-4 Rejimen Askar Jurutera Diraja (4 SKN RAJD) di dalam Kem Syed Sirajuddin.
“Ketika sampai di hadapan Hospital Tentera Darat (HTD) di Kem Syed Sirajuddin tiba-tiba baju panas mangsa yang membonceng motosikal tersangkut di sprocket motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki.
“Ia menyebabkan baju tersebut terbelit dan menyebabkan pembonceng terjatuh ke sisi kiri motosikal dan mengakibatkan tangan kirinya termasuk ke dalam rim tayar motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kiri iaitu hancur dan hampir terputus serta patah kaki kiri.
Bagaimanapun, kata Anuwal, penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN