Bahas tuntutan waris Sulu di Parlimen mendedahkan strategi

Bahas tuntutan waris kesultanan Sulu di Parlimen akan mendedahkan strategi negara

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia 13 Julai 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari ketiga persidangan Dewan Rakyat masih lagi ‘panas’ dengan isu berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu dan Petronas apabila terdapat ahli Parlimen menggesa supaya ia dibenar untuk dibahaskan.

Namun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sekali lagi menolak gesaan itu dengan menjelaskan usul berkenaan boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh.

“Mahukah kita bincang dan sedang ketika perbincangan tu berjalan, kita tak tahulah apa yang akan dikatakan.

“Maka, terserlahlah strategi kerajaan untuk buat itu dan ini, (kemudian) akan ada kritikan terhadap tindakan kerajaan. Kemudian pihak yang satu lagi (di luar negara) boleh membacanya.

“Apakah itu tidak akan merosakkan kepentingan kerajaan dalam prosiding litigasi tersebut? Mahukah kita tunjuk strategi kita kepada dunia?” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dengan menyamakan ia seperti strategi berperang, Azhar Azizan berkata, adalah sangat penting bagi proses litigasi mempunyai unsur kejutan.

AZHAR AZIZAN HARUN

Justeru tegasnya, menjadi tanggungjawab beliau memastikan strategi negara tidak didedahkan kepada pihak luar.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhujah, Parlimen sepatutnya membenarkan usul tersebut dibahaskan dan ia boleh dibuat tanpa menyentuh isu mahkamah.

ANWAR IBRAHIM

Katanya, ia membolehkan ahli Parlimen mengisytiharkan sokongan secara rasmi terhadap usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan negara, jika ia adalah langkah yang betul.

Bagaimanapun, Azhar Azizan berkata, usul tergempar yang diminta di bawah Seksyen 18(2) itu hanyalah ‘perbincangan’ dan bukan perbahasan sebenar dengan sebarang keputusan.

Justeru, dia menasihatkan ahli Parlimen mengemukakan perkara itu di Dewan Rakyat melalui soalan lisan.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan Hanipa Maidin (PH-Sepang) berhubung alasan subjudis, Azhar Azizan berkata, sebarang perbahasan mengenai perkara itu bercanggah dengan perintah tetap Parlimen mengenai subjudis.

Pewaris Kesultanan Sulu yang terakhir, Sultan Jamalul Kiram II menggunakan proses undang-undang antarabangsa dalam usaha menuntut bayaran pajakan tertunggak AS$14.92 bilion untuk Sabah.

Proses timbang tara dimulakan sebagai tindak balas kepada Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada Kesultanan Sulu pada 2013.

Berikutan itu, waris Kesultanan Sulu melalui peguam mereka merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg bernilai AS$2 bilion.

Malaysia mencabar tuntutan waris Kesultanan Sulu di mahkamah di Sepanyol dan Perancis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN