JOHOR BAHRU: Orang ramai tidak perlu bimbang membeli ‘ayam gemuk’ yang banyak dijual dalam pasaran tempatan pada masa ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, situasi berkenaan berlaku kerana terdapat lebihan bekalan ayam dalam pasaran.
“Bermula Julai ini, bekalan bagi ayam telah kembali pulih dengan jumlah pengeluaran setiap hari adalah sebanyak 2.01 juta ekor, manakala penggunaan hanyalah 1.8 juta ekor, bermakna kita ada lebih.
“Ini bermakna bekalan kita bukan sahaja mencukupi, malah berlebihan. Jadi, ada penternak ayam kita mempunyai masa mencukupi untuk membesarkan ayam sebelum ia dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Road To Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 Zon Selatan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Ahmad berkata, ayam yang dijual ketika ini kelihatan ‘gemuk’ adalah kerana sihat dan mendapat makanan mencukupi.
“Disebabkan bekalan mencukupi, penternak kita melambatkan pengeluaran. Jadi, apabila lambat ayam ini terlebih sihat dan terlebih makan kerana ada sehingga 40 atau 43 hari baharu dijual, jadilah mereka ‘ayam gemuk’.
“Tetapi itu semua tiada masalah, ada juga ayam yang bersaiz sederhana dan kecil dalam pasaran. Jadi, pengguna boleh buat pilihan saiz yang diingini mereka, tiada masalah,” jelasnya. – UTUSAN