Anak teruja teman ibu bapa tunai umrah kali pertama

Anak teruja teman ibu bapa tunai umrah kali pertama

MUTAWIF bersama jemaah umrah membaca doa sebelum berangkat ke Tanah Suci pada penerbangan pertama umrah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. musim 2022/2023 (1444H) di KLIA, Sepang. – FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Walaupun belum pernah lagi menjejakkan kaki di tanah suci, Firman Ahmad teruja dapat menunaikan ibadah umrah yang disediakan oleh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd..

Lebih manis, beliau bersama-sama 174 lagi jemaah dari seluruh Malaysia muncul sebagai kumpulan pertama berlepas ke sana menjelang musim baharu 1444 Hijrah pada Jumaat ini.

“Memang berdebar tetapi paling berasa amat seronok kerana saya dapat pergi ke sana bagi menemani ibu bapa yang kebetulan tidak berapa cergas,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bapanya, Ahmad Kassim, 74, yang pernah mengerjakan ibadah haji pada tahun 2000 lalu dan kemudian menunaikan umrah pada 2010, kelihatan berkerusi roda disebabkan kurang sihat.

Ibunya, Hanisah Kaimon, 72, turut bersama pergi ke tanah suci dan tiga beranak dari Batu Pahat, Johor itu disantuni oleh Pengarah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris.

Kumpulan itu berlepas ke Jeddah menaiki pesawat Malaysia Airlines by Amal penerbangan MH8026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pukul 3.10 petang tadi.

Mereka akan berada dahulu di Madinah untuk ziarah selama lima hari empat malam sebelum menunaikan umrah di Mekah selama tujuh hari enam malam termasuk ziarah di bandar Taif.

Mengulas lanjut, Firman, 45, yang juga seorang peniaga menambah, mereka bertiga hanya melakukan persiapan kurang seminggu selepas dimaklumkan mengenai tarikh penerbangan.

“Kami memang sudah bersedia dari awal malahan sering mengikuti kursus yang dikendalikan oleh wakil agensi ini di pejabat cawangannya di Batu Pahat pada setiap pagi Sabtu,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau memilih syarikat berkenaan kerana banyak kemudahan yang disediakan untuk jemaah dari kalangan usia warga emas termasuk penginapan selesa.

Bahkan, pengalaman mengerjakan umrah kali pertama yang pernah dilakukan lebih 12 tahun lalu dengan agensi itu menyebabkan beliau tertarik memilih syarikat tersebut untuk kali kedua.

Turut sependapat ialah isterinya, yang menjelaskan bahawa mereka berdua sepatutnya pergi menunaikan ibadah tersebut pada 2020 lalu tetapi hasrat itu ditunda ekoran sempadan ditutup.

Dalam pada itu, salah seorang mutawif yang akan pergi bersama-sama jemaah, Mohd. Ilham Amri, 30, turut tidak menyangka akan menjadi kumpulan sulung jemaah umrah musim baharu.

Meskipun sudah lama berkhidmat sebagai mutawif agensi tersebut sejak 2013 lagi, beliau tetap juga berdebar kerana setiap kumpulan akan membawa pelbagai pengalaman yang berbeza.

“Kali pertama jadi mutawif, ada kes seorang jemaah meninggal dunia dan saya berharap kali ini berjalan baik sebab kami akan juga bertembung ratusan ribu jemaah haji di sana,” katanya.

Seramai empat mutawif akan bertanggungjawab dalam mengawal selia empat kumpulan kecil jemaah tersebut yang masing-masing terdiri 44 orang untuk melancarkan pergerakan mereka.

Secara kebetulan, memang sudah ada petugas syarikat itu di sana yang ketika ini menyantuni lebih 500 jemaah haji di bawah pakej agensi tersebut dan masih belum balik lagi ke tanah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya