SHAH ALAM-Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditempelak oleh Tan Sri Noh Omar sebagai seorang pemimpin yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak memahami kata-katanya sendiri dalam isu Stadium Shah Alam.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi berkata, beliau bercakap berasaskan fakta dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum memberi komen terhadap isu stadium ikonik tersebut.
“Saya bacakan ucapan beliau (Amirudin) semasa membentangkan Bajet Selangor 2022…Kerajaan negeri amat komited dalam pembangunan generasi muda dan sukan negeri Selangor.
“Bagi tujuan ini kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM14.49 juta bagi tahun 2022 dalam memastikan agenda pembangunan generasi muda dan sukan. Umumlah, bukan untuk stadium (Stadium Shah Alam) ertinya bajet tersebut umum .. mana-mana rosak, sukan dan sebagainya dalam bajet RM14.49 juta tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) bernilai RM14,670,000.00 kepada 152 penerima di Uptown Shah Alam Seksyen 23 malam tadi.
Terdahulu media melaporkan, Kerajaan Selangor menafikan tidak membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan kerosakan Stadium Shah Alam secara berterusan.
Amirudin berkata, kerosakan dialami stadium berkenaan memerlukan kos perbelanjaan tinggi dan ia bukannya perkara baharu.
Dalam pada itu, Amirudin turut mendakwa Noh tidak memahami isu Stadium Shah Alam dan menyanggah segala kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut Noh berkata, sepatutnya dalam pembentangan bajet tersebut, Amirudin perlu menyatakan peruntukan khusus yang bersesuaian untuk Stadium Shah Alam.
“Saya bacakan ucapan Menteri Besar dalam bajet kerajaan negeri yang dibentang tahun lepas ..Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan bagi Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan daripada RM2.196 juta pada tahun 2021 kepada RM4 juta pada tahun 2022.
“Peruntukan ini adalah bagi tujuan membaikpulih infrastruktur sukan yang mengalami kerosakan dan membina baru infrastruktur sukan yang terdapat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dengan had nilai anggaran kos sehingga RM100,000,” katanya.
Katanya lagi, dalam ucapan bajet tersebut yang dibacakannya semula, jelas tiada peruntukan khusus daripada kerajaan negeri untuk Stadium Shah Alam.
“Ini membuktikan tuduhan Menteri Besar Selangor saya tidak tahu apa-apa adalah tidak benar. Bagaimana hendak menguruskan negara jika stadium pun tidak mampu diuruskan, ini bahaya tuan-tuan,” katanya.
Untuk rekod 2 Julai lalu Amirudin dilaporkan berkata, Kerajaan negeri Selangor akan mengumumkan cadangan dan perancangan masa depan Stadium Shah Alam pada 16 Julai ini.- UTUSAN