PUTRAJAYA: Rebah ketika acara perbarisan mungkin kedengaran agak biasa, tetapi diangkat oleh bapa selepas rebah bisa meruntum jiwa dan menitiskan air mata sesiapa sahaja.
Itu reaksi spontan seorang bapa selepas melihat anaknya rebah ketika acara perbarisan pelatih kursus penguat kuasa pada majlis sambutan Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi.
Momen kasih agung si ayah itu sempat dirakam lensa kamera sebelum ia dikongsi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Lebih 10 keping gambar dikongsi Alexander itu memaparkan si bapa memapah dan mengangkat anaknya yang rebah pada acara perbarisan itu.
Difahamkan ketika kejadian itu, peserta berkenaan rebah dipercayai kepenatan akibat cuaca panas terik sebelum si bapa meluru ke arah anaknya dari khemah tetamu.
Si bapa kemudian mengangkat anaknya itu dan memeluknya dari belakang sebelum berdiri di belakang dan menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.
Alexander berkata, melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing dan beliau juga tidak terkecuali.
“Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai dan sayangi serta santunilah selagi hayatnya dikandung badan,” katanya.
Setakat pukul 5.45 petang tadi, hantaran berkenaan mendapat 340 komen dan dikongsi 3,900 oleh warganet yang rata-rata tersentuh dengan perkongsian itu. – UTUSAN