Alat komunikasi tidak diperakui, Darson didenda RM15,500

Alat komunikasi tidak diperakui, Darson didenda RM15,500

TAN Kwee Geok keluar dari Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka selepas hakim menjatuhkan denda RM15,500 kerana menjual dan memiliki kelengkapan komunikasi tidak diperakui SKMM. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah syarikat termasuk pengarahnya didenda RM15,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menjual dan memiliki kelengkapan komunikasi tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Darson Electronics Sdn. Bhd. dan Pengarahnya, Tan Kwee Geok, 56, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilucut hak kepada SKMM.

Mengikut dua pertuduhan, Darson Electronics Sdn. Bhd. dan Kwee Geok didakwa memiliki dengan tujuan untuk menjual sebanyak 11 unit mikrofon tanpa wayar jenama Langpu model U3001B.

Sementara dua pertuduhan lagi melibatkan OKS sama didakwa menjual satu unit mikrofon tanpa wayar jenama Langpu model U3001B.

Kesalahan itu dilakukan di tingkat bawah Jalan PMS, Taman Plaza Melaka Sentral dalam daerah Melaka Tengah pada  4 Julai 2020 dan 5 Mei 2021.

Kesemua unit tersebut didapati tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16 (1) (b) dan 16 (3) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SKMM, Nazrul Nizam Mohd. Zameri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, di samping barangan kes dilucut hak dan dilupuskan berdasarkan Akta SKMM.

Bagaimanapun, OKS yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan denda minimum memandangkan dia sudah menyesal dan insaf, perlu membayar gaji pekerja dan menanggung keluarga.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah mengenakan denda berjumlah RM15,500 bagi empat pertuduhan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya