IPOH: Rekod Imunisasi kanak-kanak dan kesihatan kini boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dua ciri terbaharu itu akan dipaparkan di telefon bimbit selepas pengguna mengemaskini aplikasi berkenaan bermula hari ini.
Katanya, pembaharuan itu merupakan langkah awal Kementerian Kesihatan (KKM) untuk Mysejahtera digunakan sebagai pendigitalan maklumat kesihatan yang sebelum ini disimpan secara manual.
“Dengan adanya kemaskini terbaharu itu, buat kali pertama rakyat Malaysia boleh menyimpan rekod kesihatan peribadi mereka secara digital dalam MySejahtera bermula hari ini.
“Pada masa sama, ciri baharu untuk rekod imunisasi bayi bermula dengan kelahiran pada 1 Julai 2022 juga kini boleh didapati dalam aplikasi tersebut.
“Ibu bapa yang sebelum ini terpaksa membawa buku imunisasi untuk anak-anak mereka semasa mendapatkan vaksinasi, sekarang tidak perlu lagi kerana (rekod imunisasi) kini boleh disimpan secara digital dalam MySejahtera dan boleh dibawa kemana-mana sahaja sebagai bukti vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya di sini hari ini.
Menurut beliau, maklumat berkaitan kesihatan dan imunisasi pengguna itu hanya akan dikemaskini dalam aplikasi berkenaan selepas mendapat persetujuan pesakit.
“Jika mereka ke klinik kesihatan KKM atau klinik di bawah program saringan di mana klinik itu menggunakan sistem MySejahtera, maka rekod hasil saringan kesihatan akan terus dipaparkan ke dalam aplikasi itu.
“Bagaimanapun, tiada orang dipaksa untuk maklumat itu dihantar, kalau beri kebenaran, maklumat itu terus naik (dipaparkan) dalam MySejahtera,” katanya.
Sementara itu, mengulas kemungkinan berlaku pencerobohan data peribadi pengguna, Khairy menegaskan ciri-ciri keselamatan aplikasi itu telah dan sedang dipertingkatkan bagi memastikan tiada kejadian seumpama itu berlaku.
“Data MySejahtera tidak pernah dicerobohi. Data ini adalah data yang disimpan oleh KKM dan bukan disimpan oleh mana-mana pihak. Malah, ia hanya boleh dikongsi dalam akaun MySejahtera sekiranya pengguna setuju untuk kongsi maklumat tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk menambah beberapa ciri baharu dalam aplikasi Mysejahtera termasuk ‘buku pink’ yang menyimpan rekod kesihatan ibu dan anak selain buku rekod derma darah. – UTUSAN