BERPANJANGAN juga isu lawak tak sensitif ini menjadi bahan perdebatan ramai. Bermula daripada cetusan yang dibuat oleh si pelaku yang sengaja tidak mahu kita sebut namanya demi publisiti, sehinggalah akhirnya ia membuahkan percambahan ideologi dan buah fikiran pelbagai pihak.
Secara kasar, yang kita nampak, ramai mula memberi tumpuan tentang isu agama yang sememangnya tidak boleh dibuat main-main dan dihina. Atas dasar tanggungjawab sebagai umat Islam, ramai bangkit mempertahankan agama yang seharusnya berada di tempat tertinggi, bukan untuk dihina-hina.
Hal itu juga membuatkan ramai kalangan pelawak mula ‘keluar’ dari sarang. Baik yang senior mahupun junior, masing-masing panas punggung dan mula berkicau gegar meluahkan pandangan masing-masing khususnya dalam menolak segala dakyah komedi tidak berotak,
Situasi itu wajar dipuji kerana ia memperlihatkan kebersamaan dan sejiwanya para komedian tempatan dalam melawan anasir yang memungkinkan kerjaya pelawak itu dilihat negatif. Sedangkan, tugas asal mereka adalah menghiburkan penonton, bukan mencetuskan sebuah polemik.
Mengajak beberapa pelawak tempatan ini berkongsi pandangan mengenai isu hangat yang diperkatakan, Pancaindera buka gelanggang ini buat tatapan pembaca.
Jangan hina agama – Afdlin Shauki
Persembahan lawak yang berkualiti adalah yang mencuit hati dan menghiburkan yang penghujungnya mengingatkan serta membuatkan audiens berfikir.
Itu pandangan pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, 51, yang mengulas tentang kriteria persembahan lawak yang sepatutnya disajikan kepada penonton.
Kata Afdlin, pelawak atau pelakon komedi yang baik adalah mereka yang mampu menghiburkan dengan persembahan lawak yang ada kriteria-kriteria tersebut tanpa menyelitkan elemen yang menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Susah kita nak jumpa pelawak macam ini sekarang ini. Yang persembahan mereka membuat orang terhibur dengan kandungan yang bijak, membuka minda serta bermanfaat,” katanya.
Selain itu, Afdlin juga menekankan sentimen keagamaan dan isu perkauman adalah elemen yang sepatutnya dielakkan dalam satu-satu persembahan lawak.
“Jangan hina agama. Lebih-lebih dalam keadaan kita yang hidup dalam masyarakat berbilang bangsa.
“Itu perkara paling sensitif selain elemen-elemen lain yang akan menimbulkan kemarahan orang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Afdlin juga menyentuh tentang elemen seksual bersifat dua makna atau sexual innuendo yang sering dijadikan bahan oleh segelintir pelawak masa kini.
Katanya elemen tersebut tidak seharusnya dibudayakan dan perlu dielakkan dalam sajian persembahan lebih-lebih lagi yang ditonton masyarakat umum.
“Pada pengamatan saya, sexual innuendo ini mula dinormalisasikan oleh pelawak-pelawak generasi baharu.
“Pelawak-pelawak sebelum ini, seperti Jalil Hamid, Arwah Mr. Os, Abon, Arwah Harun Salim Bachik dan saya sendiri tak pernah menggunakan elemen sebegini dalam persembahan lawak kami.
“Budaya ini dibawa oleh pelawak-pelawak yang nak cepat popular. Saya sendiri terkejut apabila elemen-elemen ini terlepas di kaca televisyen (TV) yang mana kita semua sedia maklum, standard operasi prosedur (SOP) stesen TV tidak membenarkan bahan-bahan lawak seperti ini diketengahkan,” jelasnya.
Pernah buat lawak tak sensitif, saya jadikan pengajaran – Ali Puteh
Popular dengan kumpulan Puteh, Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan atau Ali, 33, mengimbas semula kontroversi yang pernah terpalit pada dirinya ketika dia dikatakan tidak sensitif dalam berlawak dengan melakukan parodi Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Kata Ali, meskipun hal itu sudah berlalu dan dianggap selesai, namun dia dan rakan kumpulannya, Vicha, yang ketika itu melakukan parodi Datin Seri Rosmah Mansor, mengutip banyak pengajaran yang tersemat rentetan insiden itu.
“Masa saya kena, itupun bahan kandungan yang kumpulan kami nak bawa ke pentas pertandingan Maharaja Lawak Mega 2021 telah diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Isu timbul pun sebab wujudnya kemarahan daripada penyokong Najib waktu itu.
“Kami dah mohon maaf dan perkara itu selesai. Malah, sehingga ke hari ini saya masih ingat, Najib berpesan supaya teruskan usaha menghiburkan rakyat. Semua yang terjadi membuatkan saya pun berhati-hati dalam berlawak.
“Kita tak mahu timbul isu sentuh sensitiviti ini lagi pada masa akan datang. Tetapi, ada pula si pelaku yang baru-baru ini mencetuskan kembali isu seumpamanya, cuma lebih dahsyat lagi, menyentuh isu agama,”katanya.
Tidak bersetuju dengan tindakan wanita terbabit yang menggunakan pentas kelab komedi Crackhouse sebagai platform agendanya, Ali bimbang tempiasnya mampu merosakkan kerjaya pelawak itu sendiri.
“Apa yang pelaku itu buat, sedikit sebanyak, tempiasnya sampai kepada pelawak-pelawak lain.Orang akan anggap, semua pelawak begitu. Inilah bahayanya apabila kita bermain lawak yang kadang-kadang dirasakan, cakaplah apa pun asalkan orang ketawa. Itu pendirian yang salah.
“Apatah lagi bermain dengan isu agama. Saya pun tengok ramai kalangan pelawak lama dan baru tampil menyuarakan buah fikiran masing-masing dan tak bersetuju dengan isu yang berlaku. Memang rata-ratanya menyampaikan hujah yang tepat.
“Saya juga bersetuju dengan kenyataan Afdlin Shauki bahawa komedi ini ada banyak cabang dan kenapa isu agama dijadikan bahan jenaka? Memang wajar individu itu dikenakan tindakan. Semoga hal ini menjadi pengajaran juga buat saya dan semua pelawak lain. Berhati-hati dalam berlawak,”katanya.
Pihak kelab perlu tahu apa kandungan, pengisian seorang pelawak terlebih dahulu – Ropie
Pelakon dan pelawak senior, Ropie berkata. setiap pelawak perlu lebih berhati-hati untuk menyampaikan kandungan lawak mereka di hadapan penonton.
Katanya, selepas ini kelab komedi terbabit haruslah lebih peka dan mengambil tahu setiap pengisian setiap pelawak sebelum melakukan persembahan kepada khalayak ramai.
“Pertama sekali pada zaman ini, semestinya kita perlu lebih berhati-hati kerana setiap perkara cepat tular. Saya pun akui bimbang. Saya tidak pernah ke kelab itu, rasanya mereka tiada latihan sebelum persembahan.
“Bagi saya, mungkin selepas kes ini berlaku, pihak kelab perlu tahu apa kandungan seorang pelawak. Selain perlu mendengar terlebih dahulu pengisiannya sebelum persembahan.
“Kerana perkara ini bahaya, jika tiba-tiba jadi pula isu sebegini, maka setiap pihak perlu lebih berhati-hati lah,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, agak sukar bagi dirinya untuk komen dengan lebih terperinci mengenai pelawak yang tidak menjaga sensitiviti dalam berlawak.
Ia kerana pelakon sitcom popular Jenaka Kampung Kalut (JKK) itu menyifatkan setiap penonton juga mempunyai minat yang berbeza dalam genre komedi.
Namun, bagi pelakon ini dirinya sentiasa peka terutama untuk ‘membahan’ orang lain menerusi lawaknya.
“Saya lihat komedi dahulu dan kini lain. Sekarang nak popular cepat, nak jatuh pun cepat juga. Kita kena lebih berhati-hati.
“Setiap orang berbeza minat dalam lawak. Ada orang suka seperti ini, ada pula yang suka lawak dakwah sedikit. Jadi agak sukar jika kita mahu puaskan hati semua orang, ada orang suka program yang membahan orang dan penuh juga tempat itu.
“Jadi perkara ini saya tidak boleh nak komen panjang. Saya pula jenis yang sukar untuk membahan orang dalam berlawak kecuali dengan mereka yang saya betul-betul kenal dan meminta izin terlebih dahulu,” tuturnya panjang.
Tak fikir panjang dengan sensitiviti orang sekeliling – Shamsul Ghau Ghau
Menurut pelakon dan pelawak terkenal, Shamsul Ghau Ghau yang memetik kata rapper kelahiran Amerika Syarikat, untuk popular seseorang itu perlulah mempunyai ilmu.
Tetapi kini sebaliknya, pengisian dan kandungan jelik atau tidak sensitif pula lebih cepat dikenali umum.
“Saya tidak bersetuju untuk popular kena buat perkara-perkara kurang bijak ini.
“Tetapi kadang-kadang apa yang saya nampak di media sosial, benda bodoh lagi orang suka.
“Bagi saya, individu sebegitu hanya sekadar mencari populariti semata-mata sahaja. Tidak fikir panjang dengan sensitiviti orang sekeliling,” katanya.
Tegas bekas peserta Sinaran Passport Kegemilangan musim pertama itu, pelawak atau siapa sahaja perlulah terlebih dahulu mengkaji kandungan dan pengisian mereka sebelum beraksi.
“Saya rasa disebabkan kekangan content dan tanpa fikir sensitiviti orang lain membuatkan seseorang itu melakukan hal melulu,” katanya lagi.
Merujuk isu tular, Shamsul juga memberitahu bahawa tempat yang menyediakan landasan untuk mempersembahkan komedi secara terbuka perlu ditutup.
“Adalah wajar tempat tersebut untuk ditutup sebab terlibat sama.
“Jadi sehingga keadaan sudah sejuk dan setelah siasatan, serta semua pihak berpuas hati, dipersilakan untuk buka semula,” ujarnya.