Agong nasihat jaga kesihatan buah pinggang

Agong nasihat jaga kesihatan buah pinggang

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kanan) berkenan menyantuni pesakit ketika berangkat ke Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Taman Melati, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar (dua dari kiri). - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati orang ramai untuk lebih menjaga kesihatan buah pinggang mereka.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda meminta masyarakat mementingkan tiga aspek dalam mengelakkan kemudaratan buah pinggang.

“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pemakanan harian serta mengelakkan produk- produk yang boleh memudaratkan buah pinggang.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis diberikan kekuatan dan kesabaran kerana ia bukanlah kehidupan yang mudah, malah penuh cabaran, risiko dan komplikasi kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Taman Melati di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, pusat hemodialisis YASA merupakan hasil keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap pesakit buah pinggang dan keperluan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, ini kerana pusat hemodialisis itu merupakan sebuah organisasi kebajikan yang tidak berorientasikan keuntungan menerima pesakit kurang berkemampuan di bawah tajaan YASA dan tajaan atau subsidi daripada badan-badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu perseorangan.

Jelasnya, penubuhan pusat-pusat hemodialisis YASA juga bertujuan menyahut seruan dan membantu kerajaan susulan pesakit yang memerlukan rawatan itu mencecah 8,000 kes setahun.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada  Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), agensi-agensi kerajaan yang terlibat, syarikat-syarikat swasta, para dermawan dan pihak jawatankuasa masjid atas sumbangan dan usaha dalam menjayakan penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati.

“Seri Paduka Baginda menyeru lebih ramai individu dan banyak lagi pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar ini mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, lebih-lebih lagi ketika ini rakyat masih lagi terkesan impak pandemik Covid-19 kepada sosio-ekonomi mereka,” ujarnya.

Majlis perasmian Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati ini juga diadakan bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan Seri Paduka Baginda yang ke-63 pada 30 Julai, Sabtu ini.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit-pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis tersebut.

Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati merupakan pusat hemodialisis yang keempat yang telah ditubuhkan oleh YASA dan pusat hemodialisis YASA yang pertama ditempatkan di perkarangan sebuah masjid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya